SEREMBAN: Sebanyak 130 saman dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar Jalan Persiaran Senawang 1 dan Jalan Senawang 19, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, saman-saman yang dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya, antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, pengubahsuaian ekzos dan struktur motosikal.
“Selain itu, kesalahan turut dikesan seperti aksesori tidak mengikut spesifikasi, tiada nombor pendaftaran, serta kesalahan membenarkan kenderaan digunakan bagi aktiviti haram,” katanya.
Dalam tindakan penguatkuasaan bersama itu, beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan turut mengeluarkan 73 notis P22 termasuk tiga arahan pemeriksaan kenderaan, manakala Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan 11 notis ke atas motosikal yang gagal dalam ujian pelepasan bunyi bising.
Sementara itu, menurut Mohamad Hatta, sepanjang operasi bermula pukul 1.30 pagi hingga 5.30 pagi itu, sebanyak 125 individu dan 116 buah kenderaan telah diperiksa.
” Pihak polis turut menyita lima buah motosikal di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta menahan tiga penunggang motosikal termasuk pelajar sekolah kerana menunggang secara melulu dan berbahaya di bawah Seksyen 42(1) akta yang sama,” katanya. – UTUSAN











