BN teguh sokong PM, tolak cadangan RCI

BN teguh sokong PM, tolak cadangan RCI

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Barisan Nasional (BN) menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara kerana ia bertentangan dengan kenyata­an dikeluarkan oleh Istana Negara.

Presiden UMNO, Datuk Se­ri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan dalam pertemuan Perdana Menteri dan ahli Parlimen BN di Putrajaya malam semalam.

Katanya, ia juga diadakan menje­lang sidang Parlimen hujung bulan ini dan beberapa perkara penting termasuk isu kehakiman telah diperjelaskan oleh Perdana Menteri.

Menurutnya, BN berpandangan pelantikan Ke­tua Hakim Negara adalah urusan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dibuat berdasarkan Perlembagaan dan atas nasihat Perdana Menteri.

“UMNO dan BN berpegang kepada tiga kenyataan rasmi dikeluarkan iaitu oleh Jabatan Peguam Negara (8 Julai), Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi (9 Julai), serta kenyataan dari Istana Negara (10 Julai).

“Sebarang usaha untuk me­nu­buhkan RCI adalah bertenta­ngan dengan semangat kenyataan ketiga-tiga institusi ini. BN konsisten menolak sebarang cubaan mempolitikkan pelantikan Ketua Hakim Negara,” katanya selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sela­yang Kali Ke-37 Tahun 2025 di sini semalam.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kepercayaan sepenuhnya perlu diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan pelantikan tersebut.

“Siapa pun yang diperkenankan, ia adalah hasil penelitian terhadap latar belakang dan integriti calon. Maka, semua pihak perlu akur dan menghormati keputusan baginda,” katanya.

Mengenai desakan segelintir pihak agar Perdana Menteri berundur, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak rele­van kerana kerajaan ketika ini masih mempunyai soko­ngan kukuh di Dewan Rakyat.

“Beliau mendapat dokongan 153 Ahli Parlimen. Walaupun terdapat sembilan Ahli Parlimen PKR yang mempunyai pandangan berbeza, ia hanya berkaitan cadangan RCI dan bukannya keabsahan kepimpinan Perdana Menteri.

“Saya belum dengar sebarang usul rasmi dibawa ke Dewan Rakyat berhubung perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ahli Parlimen daripada BN bagi membincangkan perkemba­ngan isu semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×