Forum Serantau ASEAN perlu kekal relevan

Forum Serantau ASEAN perlu kekal relevan

MOHAMAD Hasan pada Forum Serantau ASEAN sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan dan matlamat yang telah dicapai menerusi Forum Serantau ASEAN (ARF) sebaliknya perlu lebih berwaspada dengan cabaran yang dihadapi rantau Asia Pasifik ketika ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pencapaian ARF tidak boleh dipandang rendah, namun pada masa sama, sikap leka dan berpuas hati harus dielakkan bagi memastikan forum itu kekal relevan.

“Kita tidak boleh memandang rendah terhadap pencapaian ARF. Namun, kita juga tidak boleh berasa selesa dan leka. Cabaran keselamatan yang sedang dihadapi oleh rantau Asia Pasifik hari ini semakin kompleks dan bersifat multidimensi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya kita gagal untuk bertindak balas, ARF berisiko kehilangan relevannya pada saat kerangka kerjasama pelbagai hala yang berkesan dan ke­pimpinan yang diyakini amat diperlukan,” katanya berucap pada Forum Serantau ASEAN (ARF) sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Bagi memastikan ARF kekal relevan dan berkesan, Mohamad berkata, forum tersebut perlu terus berkembang dan menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan diri serta bertindak balas dengan lebih cekap terhadap realiti.

“Kita perlu memberi ke­utamaan kepada matlamat ini kerana ia penting untuk memastikan ARF kekal sebagai satu kerangka keselamatan serantau yang inklusif dan berwibawa,” katanya.

Dalam menghadapi spektrum cabaran keselamatan serantau yang semakin meluas, beliau berkata, ARF perlu mengekalkan ketahanan serta memperluas skop kerjasama yang dijalin.

“Kita juga perlu terus me­negaskan komitmen terhadap pematuhan undang-undang antarabangsa dan mengekalkan sebuah sistem antarabangsa yang stabil serta berasaskan peraturan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Mohamad berkata, ARF juga perlu memberi tumpuan terhadap beberapa langkah berikut sebagai teras agenda.

“Pertama, ARF mesti kekal peka terhadap cabaran paling mendesak di rantau ini. Ke­tegangan maritim masih berte­rusan di laluan perairan utama sekali gus meningkatkan risiko salah tafsir dan salah langkah.

“Ancaman siber juga sema­kin meruncing, menjejaskan infrastruktur penting, menyebarkan maklumat palsu serta meruntuhkan kepercayaan awam,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan, perubahan iklim yang sebelum ini dianggap ancaman jangka panjang, kini membawa pelbagai risiko yang menambah ketidaktentuan serta menyebabkan perpindahan komuniti.

“Kedua, ARF perlu dilengkapi dengan keupayaan untuk bertindak secara pantas dan berkesan. Di luar ruang dialog, forum ini sepatutnya memainkan peranan lebih kukuh dalam memberi amaran awal dan tindak balas segera terutamanya dalam krisis kemanusiaan, kecemasan kesihatan dan pencegahan konflik.

“Ketiga, kita mesti beralih daripada sekadar berdialog kepada tindakan yang konkrit. Jurang antara hasrat dan pelaksanaan mesti dirapatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini