TUMPAT: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mahu memastikan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul- Albab pertama di Kelantan di Tanah Merah, dekat sini menjadi kenyataan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan pembinaan MRSM itu sudah ada dan perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Mara akan datang.
“Mesyuarat itu bagi membolehkan kita menulis semula surat kepada Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan kembali MRSM Ulul-Albab itu.
“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah memberi arahan dan persetujuan dan saya akan berusaha menyegerakan proses tatakelola pembinaan MRSM Ulul-Albab di Tanah Merah,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat yang disempurnakan oleh Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO di MRSM Tumpat, di sini hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, cadangan itu juga bagi merealisasikan hasrat UMNO Tanah Merah dan seluruh perwakilan UMNO Kelantan untuk melihat pembinaan MRSM Ulul-Albab berkenaan direalisasikan dalam masa terdekat.
Menurutnya, semua 57 MRSM ketika ini sedang melaksanakan program Ulul-Albab iaitu mini Ulul-Albab atau Tahmidi yang memerlukan pelajar-pelajar sekurang-kurangnya menghafaz lima juzuk al-Quran atau surah-surah terpilih termasuk Juz ‘Amma.
“Di samping itu, lapan MRSM yang melaksanakan program penuh Ulul- Albab. Justeru, MRSM yang bakal dibina di Tanah Merah nanti akan menjadi maktab kesembilan melaksanakan program Ulul-Albab secara menyeluruh,” ujarnya. – UTUSAN











