PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia dijangka mencapai 42.38 juta orang pada 2059, sebelum menurun secara perlahan bermula 2060 kepada 42.37 juta dan seterusnya 42.08 juta pada 2065.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun jumlah penduduk terus meningkat dari 2020 hingga 2059, kadar pertumbuhan dijangka menurun ketara daripada 1.7 peratus (2020) kepada hanya 0.1 peratus pada 2060.
Penduduk Kelantan, Pahang, Perak, Terengganu dan Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya dijangka terus meningkat sepanjang tempoh 40 tahun sehingga 2060 dengan Selangor dijangka kekal paling ramai penduduk iaitu 8.10 juta, diikuti Johor (4.99 juta) dan Sabah (4.89 juta).
“Sembilan negeri dijangka mencapai kemuncak penduduk lebih awal sebelum Malaysia pada tahun 2059 adalah WP Kuala Lumpur (2031) Pulau Pinang (2040), WP Labuan (2041), Selangor (2049), Johor dan Kedah (2052), Negeri Sembilan (2054) serta Perlis dan Sarawak (2055),” katanya pada Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 di sini semalam.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menerbitkan Unjuran Penduduk Malaysia 2020-2060 sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025.
Mohd. Uzir berkata, penduduk lelaki dan perempuan dijangka terus meningkat dari 2020 hingga 2060, dengan lelaki melebihi perempuan.
Nisbah jantina dijangka meningkat daripada 110 pada 2020 kepada 114 lelaki bagi setiap 100 perempuan menjelang 2060.
“Bumiputera mencatatkan peningkatan peratusan tertinggi iaitu 10.2 peratus daripada 69.4 peratus (2020) kepada 79.4 peratus pada 2060. Pada 2060, kaum Cina dan India dijangka menurun masing-masing kepada 14.8 peratus (2020: 23.2 peratus) dan 4.7 peratus (2020: 6.7 peratus). Kategori lain-lain meningkat 0.7 peratus (2020) kepada 1.0 peratus (2060),” katanya.
Mohd. Uzir berkata, penduduk berumur 0-14 tahun atau umur muda dijangka menurun daripada 24 peratus (2020) kepada 16 peratus pada 2060, manakala peratusan penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.2 peratus (2020) kepada 70.8 peratus pada 2030.
Peratusan ini dijangka menurun antara 2040 dan 2050 dan terus menurun kepada 65.7 peratus menjelang 2060. Komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) dijangka meningkat kepada 18.3 peratus pada 2060 berbanding 6.8 peratus pada 2020.
“Malaysia menjadi Ageing Society pada 2021 dan mencapai Aged Society menjelang 2048 apabila penduduk berumur 65 tahun melebihi 7 peratus dan 14 peratus.
“Berdasarkan Dasar Warga Emas Negara (DWEN), sesebuah negara dianggap menua apabila 15 peratus penduduk berumur 60 tahun dan lebih dengan Malaysia dijangka mencapai status tersebut menjelang 2036,” katanya.
Semua negeri mencatatkan peningkatan dalam peratusan kumpulan umur bekerja menjelang 2030, kecuali Pulau Pinang, Perlis dan Terengganu.
Dalam tempoh sama, peratusan penduduk umur tua tertinggi juga direkodkan di WP Kuala Lumpur iaitu 26.2 peratus, diikuti oleh Selangor (25.2 peratus) dan Pulau Pinang (23.5 peratus).
Ketiga-tiga negeri ini dijangka diklasifikasikan sebagai Super-aged Society, apabila peratus penduduk umur tua melebihi 20 peratus. Sementara itu, negeri-negeri lain dijangka mencapai fasa Aged Society menjelang 2060 apabila peratus penduduk berumur 65 tahun dan lebih melebihi 14 peratus, kecuali Kelantan dan Terengganu. – UTUSAN








