LONDON: Pelajar universiti di Britain boleh dipenjara sehingga 14 tahun sekiranya menyokong pertubuhan Palestine Action, susulan pengharaman kumpulan tersebut oleh kerajaan Britain awal bulan ini.
Amaran itu disuarakan oleh Lord Walney, bekas penasihat kerajaan dalam isu keganasan politik dan gangguan awam, yang turut menggesa naib canselor universiti-universiti di Britain agar memaklumkan kepada para pelajar tentang hukuman yang boleh dikenakan sekiranya mereka terlibat menyokong kumpulan tersebut.
Palestine Action, sebuah pertubuhan aktivis pro-Palestin, telah diisytihar sebagai organisasi pengganas selepas beberapa ahlinya merakam tindakan menceroboh sebuah pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) di England.
Mengikut undang-undang Britain, sesiapa yang menjadi ahli atau menyatakan sokongan terhadap pertubuhan yang telah diharamkan di bawah Akta Keganasan 2000 boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 14 tahun.
Protes menyokong perjuangan rakyat Palestin dan membantah tindakan ketenteraan Israel di Gaza telah menjadi pemandangan biasa di kampus-kampus universiti di seluruh Britain sejak tercetusnya konflik pada Oktober 2023.
Dalam sepucuk surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Universities UK (UUK), Vivienne Stern, Lord Walney menzahirkan kebimbangan ramai pelajar mungkin tanpa sedar telah dipengaruhi untuk menyokong sebuah entiti yang kini secara rasmi diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas.
Lord Walney turut mendakwa strategi Palestine Action secara terancang menyasarkan golongan pelajar untuk dilibatkan dalam aktiviti jenayah atas nama protes sah, dengan mengeksploitasi simpati anak muda terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Dengan pengharaman rasmi ini, ambang perundangan telah berubah. Mana-mana bentuk sokongan termasuk memakai simbol, menganjurkan perjumpaan, atau mempromosi aktiviti kumpulan tersebut — walaupun atas kejahilan, kini boleh membawa kepada sabitan jenayah keganasan,” tegasnya.
Universities UK dalam kenyataan balas kepada The Times memaklumkan pihaknya telah mengedarkan notis rasmi kepada semua naib canselor institusi ahli berhubung pengharaman Palestine Action, yang berkuat kuasa mulai Sabtu, 5 Julai lalu.
Menurut UUK, semua institusi pengajian tinggi bertanggungjawab memastikan warga kampus dimaklumkan tentang status semasa pertubuhan tersebut serta implikasi undang-undang yang berkaitan. -AGENSI











