JOHOR BAHRU: Dua anggota polis kritikal dan tiga lagi stabil selepas helikopter dinaiki terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah di sini semalam.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kelima-lima mangsa membabitkan dua pegawai dan tiga anggota termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman serta anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang.
Kesemua mereka dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Dalam pada itu katanya, usaha sedang dibuat dengan menggembleng beberapa agensi, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Maritim Malaysia dan lain-lain yang mempunyai kepakaran bagi mengesan kota hitam helikopter tersebut.
“Operasi menaikkan bangkai helikopter juga dijangka mengambil masa kerana memerlukan bantuan daripada pihak yang berkemahiran dalam kerja-kerja dasar sungai.
“Setakat ini kita belum dapat pastikan bila bangkai helikopter itu dapat dinaikkan kerana ia perlukan kepakaran tertentu, mungkin juga daripada pihak ketiga.
“Saya dimaklumkan kedalaman sungai ini kira-kira 25 kaki, itu juga menjadi cabaran besar untuk timbulkan bangkai helikopter,” katanya selepas melawat lokasi kejadian di Jeti Maritim Malaysia, di sini semalam.
Menurutnya, lima mangsa, iaitu tiga lelaki dan dua wanita telah menerima rawatan segera dengan dua daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiga lagi dilaporkan stabil..
Kejadian kira-kira pukul 10.25 pagi itu melibatkan helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG yang sedang melaksanakan latihan sempena Nuclear Security Detection Exercise Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025).
“Pesawat itu sebelum ini dilaporkan berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi sebelum mengalami nahas di kawasan Jeti Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Gelang Patah,” kata Mohd. Khalid.
Menurutnya, susulan kejadian, siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia selaras dengan peruntukan Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.-UTUSAN










