KES kematian guru, Lo Kwan Fong di Johor yang kematiannya hanya diketahui selepas lapan bulan mengejutkan negara. Mayat reput itu dijumpai di pangsapuri Bandar Selesa Jaya, Johor. Kematian ini mengundang seribu persoalan. Di manakah keprihatinan kita dalam kehidupan berjiran? Mengapa mengambil masa terlalu lama untuk ketahui ‘kehilangannya’?
Kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang hilang? Jawapannya mungkin satu: kepedulian.
Sikap kepedulian atau cakna semakin hilang dalam masyarakat. Dunia semakin sibuk. Nilai kemanusiaan semakin hilang. Nilai berjiran dan saling peka semakin tenggelam. Kes kematian yang tidak disedari bukan lagi aneh. Ia kini menjadi fenomena yang perlahan-lahan mencerminkan realiti dingin masyarakat kita.
Baru-baru ini seorang warga emas yang ditemui tidak bernyawa di ruang tamu selepas seminggu tidak keluar rumah. Jiran menyangka warga emas itu pulang kampung. Seorang lagi lelaki bujang berusia 40-an pula ditemui mati dalam bilik sewanya, hanya selepas pemilik rumah menyedari bau busuk keluar dari bawah pintu.
Apa yang terjadi dengan rasa tanggungjawab sosial kita?
Dahulu, jiran adalah saudara terdekat. Kini, kita mungkin tinggal di rumah bertahun-tahun tanpa tahu nama jiran sebelah. Di media sosial kita aktif mengambil tahu pasal selebriti, tetapi di dunia sebenar, kita langsung tidak perasan jika jiran tidak buka pintu selama seminggu.
Kematian yang tidak disedari ini bukan sekadar tragedi fizikal, ia adalah simbol kematian nilai kemanusiaan dalam komuniti.
Kita perlu semula ajar anak-anak dan diri sendiri, bahawa peduli bukan hanya soal membantu tetapi juga mengambil tahu, bertanya khabar dan hadir dalam senyap.
Kerana mungkin dengan hanya satu mesej ringkas atau panggilan, kita mampu menyelamatkan nyawa atau paling tidak memastikan mereka tidak pergi dalam diam.-UTUSAN
DR. NORASYIKIN MOHAIYUDDIN
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Pendidikan
Universiti Utara Malaysia










