PETALING JAYA: Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) mengesan terdapat akaun video palsu di Facebook yang dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) memaparkan wajah dan suara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Video berkenaan disebarkan melalui laman media sosial Facebook dengan memaparkan suara Seri Paduka kononnya berkaitan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan kepada orang ramai.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan akaun-akaun palsu ini yang sering digunakan oleh scammers untuk tujuan penipuan di Facebook serta platform media sosial lain.
“Royal Press Office juga ingin menegaskan bahawa penyamaran dan penyalahgunaan identiti adalah satu kesalahan di sisi undang-undang. Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” kata RPO dalam kenyataan.
Sebelum ini, Istana Pahang mengesan penyebaran video palsu dihasilkan menggunakan teknologi AI memaparkan wajah menyerupai Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istana Pahang dalam akaun Facebook (FB) rasmi Kesultanan Pahang menjelaskan, video yang disebarkan menerusi beberapa akaun di TikTok itu adalah tidak sahih dan tindakan berkenaan adalah penyalahgunaan imej Al-Sultan Abdullah bagi tujuan penipuan serta memperdaya orang ramai.-UTUSAN








