KETEGANGAN antara Iran dan Israel yang semakin membara sejak awal 2025 membuka lembaran baharu kepada krisis serantau Asia Barat. Beberapa serangan rentas sempadan berlaku dan kini seluruh dunia memberi perhatian khusus terhadap konflik dua negara besar tersebut, adakah api peperangan akan menyala secara terbuka?
Sekiranya konflik ini merebak dalam skala yang lebih besar, ia bukan sahaja memberi kesan kepada Iran dan Israel semata-mata, bahkan akan mengheret negara dan rantau lain ke dalam gelombang ketidakstabilan yang lebih parah dari aspek politik, keselamatan, ekonomi dan kemanusiaan.
Konflik ini melibatkan penggunaan teknologi senjata jarak jauh, serangan terhadap kedutaan, serta penglibatan kuasa proksi di Lubnan, Syria dan Iraq menjadikan keadaan konflik semakin kritikal. Apa yang dibimbangi ialah peperangan ini boleh menjadi pemangkin kepada konflik serantau yang lebih luas, seterusnya menggugat kestabilan global secara keseluruhan.
Sekiranya perang terbuka tercetus, negara-negara yang bersebelahan dengan Iran seperti Iraq, Syria dan Lubnan berisiko menjadi mangsa medan pertempuran. Rantaian konflik ini tidak dapat dielakkan memandangkan kewujudan kumpulan proksi yang menyokong Iran seperti Hizbullah di Lubnan dan militan Syiah di Iraq dan Yaman. Israel pula seperti biasa, akan mendapat sokongan penuh daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya dalam NATO. Terbaharu gabungan negara G7 juga telah mengecam tindakan Iran dalam konflik ini.
Iran yang mempunyai populasi lebih 88 juta orang sudah tentu akan menyaksikan gelombang pelarian jika konflik terus tercetus secara meluas.
Mengikut statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dunia ketika ini sudah menanggung lebih 110 juta pelarian kesan dari peperangan serta penindasan di Palestin, Syria, Sudan, Myanmar dan Ukraine. Penambahan jutaan pelarian baharu dari Iran dan wilayah sekitarnya akan memburukkan lagi situasi sedia ada. Agensi-agensi kemanusiaan antarabangsa tidak lagi mampu menampung keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan rawatan kesihatan.
Malaysia sebagai negara yang berpegang kepada prinsip keadilan sejagat serta solidariti Islam perlu mengambil peranan aktif dalam usaha diplomasi damai dan penyelesaian konflik. Selain menyuarakan pendirian tegas di peringkat antarabangsa, Malaysia juga harus menggerakkan inisiatif bantuan kemanusiaan kepada pelarian yang terkesan daripada peperangan.
Peranan mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan masyarakat sivil juga penting dalam menyampaikan kesedaran kepada rakyat serta membantu mengikut kapasiti masing-masing. Gerakan mahasiswa khususnya perlu lebih lantang dalam mengangkat isu ini agar tidak tenggelam dalam kekacauan geopolitik.-UTUSAN
MUHAMMAD AMMAR FITRI NASARUDDIN
Jabatan Sejarah, Tamadun & Pendidikan Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya









