KUALA PILAH: Pembelian sebuah novel lama di pasar pagi kira-kira 15 tahun lalu menjadi titik mula buat seorang penjual kuih cakoi untuk mengumpul ratusan barangan antik.
Rashidi Baharudin, 38, yang juga seorang bekas penjawat awam berkata, novel bertajuk Nadia terbitan era 1950-an tersebut dibeli daripada rakan sekerjanya yang ketika itu menjual barang-barang terpakai di pasar pagi di Taman Kerang, Kuantan.
“Saya pergi pasar pagi dekat Taman Kerang, Kuantan. Ada seorang kawan tempat kerja menjual barang-barang terpakai.
“Saya tertarik dengan novel terbitan tahun 50-an, selepas bawa balik novel tu, selepas itu saya tiba-tiba jadi serius mahu pengumpul sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di kedai miliknya di pekan Johol di sini.
Rashidi berkata, dia aktif ‘memburu’ barang-barang antik seperti perkakasan dapur, botol minuman, barangan elektronik serta perabot.
Katanya, mengumpul barang antik ini bukanlah disebabkan soal wang ringgit tetapi nilai warisan dan sejarah yang ada pada setiap barangan yang dikumpulnya.
“Tujuan saya mengumpul bukan kerana wang ringgit tetapi saya hendak memulihara warisan bangsa. Mungkin orang nampak ia adalah sampah tetapi bagi pengumpul seperti saya, ia ada nilainya tersendiri.
“Daripada dibuang atau dibakar, lebih baik jual atau beri kepada pengumpul barang antik,” ujarnya.
Katanya, setiap koleksi barangan antik itu turut dipamerkan di kedai cakoi miliknya sehingga mampu menjadi tarikan kepada orang ramai.
“Pernah pelancong dari Amerika Syarikat bersama anaknya yang kebetulan lalu di kawasan sini singgah di kedai untuk melihat sendiri koleksi barang antik saya.
“Dia juga membeli beberapa buah buku tulisan jawi koleksi saya kerana katanya dia sangat berminat dengan seni tulisan jawi orang Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Rashidi turut meluahkan rasa syukur kerana usaha mengumpul barangan lama tersebut juga mendapat sokongan daripada keluarga dan isterinya, Siti Farhana Mahusin, 37.-UTUSAN.










