Tindakan 9 ahli Parlimen calar imej Kerajaan Madani

Tindakan 9 ahli Parlimen calar imej Kerajaan Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan lagi ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Persekutuan dilihat hanya mencalar imej Kerajaan Madani.

Malah, tindakan bekas Timbalan Presiden PKR itu juga boleh memberikan kesan ne­gatif terhadap kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang juga selaku Presiden PKR.

Tindakan itu juga ibarat sebagai tanda kehilangan kepercayaan mereka (sembilan ahli Parlimen) terhadap kepimpinan Anwar.

Sekiranya RCI itu diwujudkan maka Anwar selaku Perdana Menteri tidak akan dapat mengelak daripada disiasat, sekali gus akan mencalarkan imejnya sebagai ketua kerajaan.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, tindakan Rafizi itu sebenarnya boleh memberikan kesan negatif terhadap kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden PKR.

Katanya, sebagai bekas kepemimpinan PKR yang kini mentadbir kerajaan, Rafizi sepatutnya menggunakan saluran dalaman untuk menyuarakan sebarang pandangan atau kritikan terhadap dasar serta kepemimpinan tertinggi parti.

“Sebagai contoh, perkara itu boleh disampaikan terus kepada Presiden atau dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (AMT). Itulah ruang yang wajar bagi menyelesaikan perbezaan pandangan dalam parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beberapa ahli Parlimen kanan PKR termasuk Rafizi kelmarin menuntut penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim termasuk memanggil Anwar untuk memberi keterangan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.

Rafizi mendakwa, pencalonan bagi beberapa jawatan hakim itu sudah dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan sebelum ini namun tidak diambil tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, sebagai seorang yang berpengalaman, Rafizi sepatutnya lebih bersikap profesional dalam melibatkan isu pelantikan berkenaan.

“Tindakan beliau itu seolah-olah seperti ada sesuatu yang tersimpan lama dan tidak diluahkan. Ini secara tidak langsung menimbulkan salah faham dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap kredibiliti PKR untuk mentadbir kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, ahli biro politik PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, tindakan sembilan ahli Parlimen PKR itu tidak menjejaskan impak Kerajaan Madani dan parti berkenaan.

“Rafizi dan mereka masih bersama dengan PKR dan dalam kenyataan bersama mereka terus mendukung kerajaan,” ujarnya.

Bagi ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan sembilan ahli Parlimen itu mendesak penubuhan RCI berhubung isu kehakiman adalah petanda mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Anwar.

Ini kerana, katanya, sekiranya RCI itu diwujudkan maka Anwar selaku Perdana Menteri tidak akan dapat mengelak daripada disiasat.

“Anwar menjadi suspek utama yang mesti disiasat oleh RCI. Ini adalah implikasi daripada tuntutan sembilan Ahli Parlimen PKR sendiri.

“Tanpa persetujuan Perdana Menteri dan Kabinet, tuntutan mereka ini hanya akan terus memburukkan imej Anwar serta kerajaan pimpinannya. Sembilan Ahli Parlimen PKR ini sebenarnya meletakkan tengkuk Anwar di bawah ‘guillotine’, seperti dalam Revolusi Perancis,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing menafikan tindakan sembilan rakannya itu sebagai tindakan memberontak kepada parti dan cuba untuk membawa imej buruk terhadap kerajaan.

“Hassan sebelum ini pun selalu mengeluarkan kritikan dan pandangan berbeza terhadap parti dan kerajaan. Sehingga kini beliau tidak dikenakan tindakan walaupun sebelum ini dipanggil oleh Lembaga Disiplin PKR.

“Jadi saya rasa tidak ada masalah untuk sembilan ahli Parlimen itu berbuat demikian, saya berpandangan bahawa kepimpinan parti boleh menerima cadangan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, tiada keperluan menubuhkan RCI dalam isu pelantikan jawatan Ketua Hakim Negara

Katanya, ini kerana perkara tersebut telah diperincikan jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).

Malah katanya, proses pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan tidak memerlukan siasatan sebaliknya memerlukan kepantasan kerana sebarang kelewatan memberi implikasi terhadap fungsi serta mengundang persepsi negatif terhadap sistem kehakiman negara.

“Apa yang diperlukan ialah kesegeraan dalam lantikan untuk jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan supaya keadaan kekosongan tersebut tidak menjejaskan perjalanan harian dan fungsi badan kehakiman yang efektif,” katanya.

Dalam pada itu, pakar geostrategi, Dr. Azmi Hassan berkata, isu pelantikan semula Ketua Hakim Negara atau penyambungan kontraknya selama enam bulan tidak wajar digambarkan sebagai satu krisis besar dalam badan kehakiman sehingga memerlukan penubuhan RCI.

Menurutnya, RCI hanya perlu ditubuhkan jika terdapat krisis besar yang menyentuh asas perlembagaan negara atau isu kedaulatan seperti yang pernah berlaku dalam kes Batu Puteh.

“RCI umpamanya ditubuhkan apabila wujud masalah mendalam seperti krisis perlembagaan. Contohnya, RCI Batu Puteh ditubuhkan kerana melibatkan isu kedaulatan negara yang dianggap telah ‘dijual’. Maka memang wajar RCI ditubuhkan dalam konteks itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×