Najib tidak mempengaruhi keputusan dan operasi SRC International

Najib tidak mempengaruhi keputusan dan operasi SRC International

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak pernah mengawal keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah SRC International Sdn. Bhd. dan tidak mempunyai tanggungjawab fidusiari kepada syarikat pelaburan strategik itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, ujar peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, sebarang peranan yang dijalankan oleh Najib selaku pemegang saham adalah sebahagian struktur tadbir urus yang sah.

“(Segala) tanggungjawab, kewajipan, amanah dan liabiliti adalah terletak pada Lembaga Pengarah. Lembaga Pengarah dan pengurusan SRC International bertanggungjawab terhadap segala urus niaga yang berlaku dalam syarikat itu.

“Datuk Seri Najib tidak mempunyai kawalan eksklusif ke atas operasi SRC International atau pengendalian hasil pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP).

“Lembaga pengarah yang melaksanakan semua urus niaga berkaitan dan bertanggungjawab terhadap pemantauan. Sekiranya berlaku sebarang penyelewengan, ia berpunca daripada keputusan lembaga itu sendiri,” kata peguam itu.

Tambah Muhammad Farhan, walaupun arahan yang dikatakan diberikan oleh Najib, menjadi tanggungjawab Lembaga Pengarah untuk menguruskan dana tersebut dengan sewajarnya.

Peguam itu berkata demikian pada prosiding kes saman SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Nik Faisal Ariff Kamil bagi menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion berkaitan dana yang diseleweng melalui syarikat itu adalah wang pencen daripada KWAP.

Pada tahun 2020, Nik Faisal yang diburu bagi membantu siasatan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dikenal pasti berada di Hong Kong.

Pada 7 Mei 2021, SRC memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

SRC di bawah pengurusan baharu mendakwa bahawa Najib telah melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, mendapat manfaat peribadi daripada dana syarikat dan menyelewengkan dana berkenaan.

SRC turut memohon perisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan menuntut agar Najib membayar semula kerugian yang telah ditanggung syarikat berkenaan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Hujahan yang didengar Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 25 Ogos ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN