KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) mencadangkan agar tarikh 18 November diangkat sebagai Hari Hak Asasi Manusia ASEAN sebagai simbolik kepada tarikh pengisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) yang diluluskan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN pada 2012.
Pengerusi AICHR 2025, Edmund Bon Tai Soon berkata, cadangan itu diketengahkan oleh Malaysia sempena ulang tahun ke-13 deklarasi tersebut dan kini sedang dalam pertimbangan pemimpin-pemimpin ASEAN untuk dimuktamadkan.
Katanya, ia bertujuan memberi penanda aras baharu kepada usaha berterusan ASEAN dalam memartabatkan nilai hak asasi manusia di rantau ini.
“Malaysia telah mencadangkan supaya 18 November diisytiharkan sebagai Hari Hak Asasi Manusia ASEAN kerana pada tarikh itu, ASEAN menerima pakai deklarasi hak asasi pertamanya pada 2012.
“Walaupun ia belum diputuskan, cadangan ini penting bagi memperkukuh kesedaran rakyat ASEAN mengenai hak mereka dan mengangkat nilai-nilai kemanusiaan dalam komuniti serantau,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama wakil-wakil AICHR di sini hari ini.
Edmund yang juga Wakil Malaysia ke AICHR berkata, inisiatif menetapkan tarikh khas itu dilihat mampu menyatukan pelbagai program dan kempen berkaitan hak asasi di bawah satu agenda serantau yang lebih kukuh.
Katanya, ia juga bakal membuka ruang kepada semua negara anggota untuk menjadikan isu hak asasi manusia sebagai sebahagian daripada dasar nasional yang lebih mesra rakyat.
“Sudah tiba masanya ASEAN memperkenalkan tarikh khas yang mampu menyatukan pelbagai inisiatif hak asasi manusia di bawah satu naungan yang diiktiraf secara serantau.
“Kita mahu hak asasi manusia ini bukan hanya dibincang dalam mesyuarat atau ditulis di atas kertas tetapi benar-benar hidup dalam kehidupan seharian masyarakat,” katanya.-UTUSAN











