KUALA LUMPUR: ASEAN perlu terus memelihara komitmennya terhadap hak asasi manusia supaya selari dengan Visi ASEAN 2045 yang mengiktiraf usaha pembinaan komuniti ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, aspirasi ASEAN yang berdaya tahan, dinamik dan berorientasikan rakyat hanya akan bermakna sekiranya negara-negara anggota memastikan hak dan maruah rakyat terpelihara.
“Integrasi serantau yang sebenar hanya dapat dicapai sekiranya ASEAN memperkasa rakyatnya supaya mereka dapat sama-sama menikmati hasil kemakmuran bersama, pertumbuhan yang saksama dan keadilan sosial,” katanya dalam ucapan pembukaan sidang khas bersama Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Mohamad turut berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menyokong usaha AICHR dalam merangka dua deklarasi penting yang memberi fokus kepada hak alam sekitar dan pembangunan inklusif.
Katanya, deklarasi tersebut merupakan komitmen ASEAN untuk menangani isu-isu mendesak yang dihadapi rakyat serantau ketika ini, termasuk pencemaran alam, ketidakstabilan ekonomi dan sosial.
“Malaysia menyambut baik usaha AICHR dalam menyusun dua deklarasi penting. Pertama, ‘Deklarasi ASEAN tentang hak atas lingkungan yang aman, bersih dan sihat serta deklarasi mempromosikan hak pembangunan dan perdamaian sebagai usaha pembangunan yang inklusif dan mampan.
“Deklarasi ini mencerminkan suara rakyat yang semakin mendesak perlindungan alam sekitar, serta keperluan untuk memastikan pembangunan yang menyeluruh dan saksama,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha itu bukan sahaja mengukuhkan peranan AICHR dalam memajukan hak asasi manusia, tetapi juga memastikan ASEAN kekal relevan terhadap cabaran semasa dan masa hadapan.
“Kita tidak boleh bercakap tentang integrasi serantau tanpa menjamin hak dan maruah rakyat kita. ASEAN perlu berani memperkasa rakyat agar dapat menikmati kemakmuran bersama secara adil dan saksama,” katanya.
Sidang tersebut turut menyentuh laporan tahunan AICHR 2025 yang memberi gambaran tentang pencapaian serta cabaran badan tersebut sepanjang lebih 15 tahun penubuhannya.
Kata Mohamad, Malaysia turut berharap AICHR terus diperkasa dengan menekankan pendekatan serantau terhadap hak asasi harus kekal dipimpin oleh ASEAN dan mencerminkan nilai negara anggotanya.
Sidang khas bersama Menteri-Menteri Luar ASEAN dan wakil AICHR adalah pembuka tirai Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-58 (AMM ke-58) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan bermula semalam hingga 11 Julai ini.
Ini merupakan kali kesembilan Malaysia menjadi tuan rumah AMM, selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2015.
Mesyuarat kali ini dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.-UTUSAN











