TEMERLOH: “Saya terkejut dan menangis. Saya tidak sangka UniSZA datang sendiri ambil saya untuk ke kampus. Seolah-olah Allah SWT jawab doa kami.”
Itu luahan penuh emosi Muhammad Naufal Muhammad Anuar, 18, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 8A+ dan 1A-, yang bakal melanjutkan pengajian dalam program Asasi Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Lebih mengharukan, Muhammad Naufal berasal daripada keluarga miskin yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik dan dibesarkan oleh seorang ibu tunggal berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal, Manisah Hassan, 45.
Ibunya yang menyara keluarga dengan menjual kuih, roti dan piza kecil-kecilan tidak mampu menyediakan kemudahan asas pembelajaran termasuk telefon pintar atau komputer riba.
Muhammad Naufal hanya menumpang komputer riba kakak dan menyimpan wang sendiri demi membeli telefon murah untuk keperluan belajar.
Walaupun hidup serba kekurangan dan menumpang di rumah neneknya, semangat Muhammad Naufal tidak pernah luntur dan remaja itu berkata, sejak kecil dia bercita-cita menjadi doktor dan memilih UniSZA sebagai laluan untuk mencapai impian tersebut.
“Saya tolong emak buat kuih, jaga nenek yang baru keluar wad dan bantu nenek di kebun. Tetapi dalam hati, saya cuma mahu belajar. Cuma hendak ubah hidup keluarga saya,” katanya dengan linangan air mata.
Kisah Muhammad Naufal yang menyentuh hati sampai ke pengetahuan UniSZA dan pengurusan universiti mengambil inisiatif menghantar kenderaan khas untuk membawanya dari rumah neneknya di Temerloh ke kampus Gong Badak, Terengganu bagi pendaftaran asasi yang bermula semalam.
Muhammad Naufal berkata, dia terharu apabila pihak universiti sudi mengambilnya dan tidak akan mensia-siakan peluang tersebut.
Baginya, perjalanan sebagai anak desa menuju cita-cita menjadi doktor kini bermula dengan air mata syukur dan semangat membara.-UTUSAN.










