PETALING JAYA: Kem wushu negara menutup tirai edisi sulung Piala Asia Wushu Taolu 2025 di China, kelmarin dengan cemerlang apabila membawa pulang satu pingat emas, tujuh perak, dan tiga gangsa.
Satu-satunya pingat emas kontinjen negara disumbangkan oleh atlet lelaki, Clement Ting Su Wei, menerusi acara Gunshu Lelaki selepas mempamerkan persembahan bertenaga dan meraih markah 9.676, sekali gus mengatasi rakan senegara, Muhammad Danish Aizad, yang membawa pulang pingat perak dalam acara sama dengan pungutan mata 9.573.
Tujuh pingat perak Malaysia hadir daripada acara Nanquan Lelaki, Daoshu Wanita, Jianshu Lelaki dan Wanita, Taijiquan Beregu, Qiangshu Lelaki dan Wanita, manakala tiga pingat gangsa disumbangkan menerusi acara Jianshu Lelaki dan Wanita, serta Duilian Lelaki.
Turut mencuri perhatian ialah persembahan konsisten atlet wanita negara, Pang Pui Yee, yang meraih dua pingat perak masing-masing dalam acara Jianshu Wanita dan Qiangshu Wanita maakala Tan Cheong Min menyumbang pingat perak dalam acara Nangun Wanita.
Persatuan Wushu Malaysia (WFM) dalam satu kenyataan melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian keseluruhan skuad negara yang pulang dengan keputusan membanggakan.
“Jutaan terima kasih kepada semua atlet, jurulatih dan penyokong, Malaysia Boleh! Ayuh Malaysia,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










