Selamat datang mahasiswa baharu ke dunia universiti

Selamat datang mahasiswa baharu ke dunia universiti

GUNAKAN masa menuntut di universiti untuk membina diri, bukan sekadar dari segi akademik tetapi sebagai manusia yang tahu tujuan hidupnya.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mahasiswa bukan sekadar menyambung pelajaran tetapi melangkah ke dunia baharu yang menuntut kematangan, kebijaksanaan dan pemeliharaan jati diri. Alam universiti bukan hanya tentang kuliah dan peperiksaan tetapi medan membina prinsip serta menilai semula siapa kita sebenarnya.

Perkara pertama yang perlu difahami mahasiswa baharu ialah tujuan mereka menjejakkan kaki ke menara gading. Tanpa matlamat yang jelas, perjalananmu akan sesat. Mahasiswa perlu belajar bukan semata-mata untuk lulus peperiksaan tetapi untuk membina nilai kemanusiaan, memahami emosi serta menjadi individu yang mampu menyumbang kepada masyarakat.

Kebebasan yang diperoleh di universiti menuntut disiplin kendiri. Tiada siapa akan memaksa masuk kuliah atau menyuruh menyiapkan tugasan. Semuanya bergantung kepada diri sendiri.

Tekanan pasti wujud. Namun, mahasiswa tidak seharusnya menanggungnya sendirian. Belajar untuk berbicara dan mengurus tekanan ialah sebahagian daripada kemahiran hidup yang tidak tertulis dalam silibus.

Hubungan dengan pensyarah pula harus dibina dengan baik. Mereka bukan sekadar penyampai ilmu tetapi pembimbing yang boleh membuka peluang dalam dunia akademik dan profesional. Jangan takut bertanya, berdiskusi atau meminta pandangan.

Selain itu, mahasiswa harus celik teknologi. Gunakan kecanggihan teknologi maklumat secara beretika dan jangan biarkan kecerdasan buatan (AI) merencatkan kemahiran berfikir. Sikap kritis terhadap maklumat juga penting agar tidak terjebak dengan maklumat palsu dan agenda yang menyesatkan.

Penglibatan dalam kelab, persatuan, wacana dan program kesukarelawanan membentuk keperibadian dan memberi pendedahan kepada realiti masyarakat. Aktiviti luar kuliah membuka ruang untuk mahasiswa belajar memimpin, bekerja dalam pasukan dan menyumbang kepada komuniti. Ini semua adalah nilai tambah yang tidak diajar secara langsung dalam kuliah.

Pemilihan rakan juga sangat penting. Persekitaran yang baik akan memberi dorongan positif. Pilih rakan yang membina, yang sanggup menegur saat leka dan yang bersama-sama menyokong ketika lemah. Sahabat sejati akan mengingatkan saat kita mula tersasar.

Akhir sekali, jangan takut untuk gagal. Kegagalan bukan penghujung jalan. Ia adalah proses yang mengajar kita untuk menjadi lebih kuat dan bijak. Yang penting ialah keberanian untuk bangkit dan terus mencuba.

Selamat datang ke dunia universiti. Gunakan masa ini sebaik mungkin untuk membina diri, bukan sekadar dari segi akademik tetapi sebagai manusia yang tahu tujuan hidupnya, tahu peranannya dan tahu ke mana mahu pergi. Jadilah mahasiswa yang bukan hanya mengejar segulung ijazah tetapi juga membina nilai, akal dan budi.-UTUSAN

MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI
Mahasiswa Program Sarjana Muda
Sejarah Gunaan Dengan Kepujian,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia, (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×