PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka diturunkan sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) Rabu ini, sejajar dengan peningkatan risiko pertumbuhan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkara ini juga didorong oleh penilaian bahawa pendirian dasar monetari semasa berada pada tahap yang agak ketat.
“Pendirian semasa dianggap ‘restrictive’. Ini bererti kos pembiayaan adalah tinggi dan jika dibiarkan ia boleh menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi domestik.
“Kami menjangkakan penurunan OPR berlaku hanya sekali sahaja pada tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata, langkah kerajaan melaksanakan konsolidasi fiskal dilihat semakin tersusun, antaranya melalui peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-Invois serta rasionalisasi subsidi bahan api.
Katanya, langkah-langkah ini memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan yang bersasar.
“Sebagai contoh, peruntukan utk bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah ditingkatkan kepada RM13 billion pada tahun 2025 berbanding RM10 billion pada tahun 2024. Semua berlaku akibat daripada langkah konsolidasi fiskal,” ujarnya.
Kali terakhir OPR berubah adalah apabila dinaikan daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei 2023.
Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula mengunjurkan OPR akan dikekalkan untuk mesyuarat MPC kali ini kerana momentum ekonomi negara tidak memerlukan lagi sebarang perubahan dasar.
Beliau berkata, ringgit terus mengekalkan pengukuhannya dengan pertambahan rizab asing BNM, apabila ia terus menarik pelaburan asing untuk membeli bon-bon terbitan kerajaan Malaysia.
Tambahnya, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pula hanya memberikan indikasi bahawa akan memotong kadar faedah tanpa memberikan kepastian bila ia akan dilakukan.
“BNM juga mungkin menantikan kesan yang lebih lama dari keputusannya yang terbaharu untuk mengurangkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 1 peratus, yang menambahkan kecairan tunai yang lebih banyak kepada pasaran kewangan negara.
“Ekonomi domestik juga masih ampuh dengan peningkatan aktiviti perniagaan, peningkatan pinjaman serta aliran pelancong asing yang berterusan.
“Kadar pengangguran yang semakin bertambah baik dan kadar inflasi berada pada kadar yang rendah memberikan impetus yang baik untuk ekonomi domestik terus berkembang dan meningkat pengaruhnya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa dasar kerajaan bermula Julai ini dijangka memberi kesan besar, iaitu perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan kenaikan kadar elektrik kepada ekonomi negara, terutamanya kepada kadar inflasi.
Tambahnya, pengenalan subsidi bersasar kepada petrol RON95 memberikan kesan rantaian nilai yang menyeluruh kepada perniagaan dan pengguna secara amnya.
Beliau berkata, BNM mungkin menurunkan kadar faedah pada suku keempat tahun ini sekiranya ekonomi negara terus perlahan dan menyasar dari unjuran KDNK 2025 iaitu lima peratus.
“Rundingan dari tarif oleh Presiden AS, Donald Trump juga dijangkakan lebih jelas kesannya kepada Malaysia dan sektor eksport negara bia tempoh 90 hari berakhir pertengahan Julai ini.
“Begitu juga harga minyak mentah yang turun naik dipengaruhi pergolakan Israel dan Iran,” jelasnya. – UTUSAN










