Jawatankuasa Bertindak TRM mohon pertimbangan tukar status kepada milik kekal

Jawatankuasa Bertindak TRM mohon pertimbangan tukar status kepada milik kekal

DZULKEFLY Ahmad (duduk tiga kiri) bergambar bersama wakil-wakil penduduk kampung Tanah Rizab Melayu di daerah Johor Bahru dan Kulai di Hotel V8, di Johor Bahru. UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Bertindak Tanah Rizab Melayu (TRM) mendesak kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan penukaran status TRM di Johor daripada pajakan kepada hak milik kekal.

Pengerusinya, Dzulkefly Ahmad berkata, usaha tersebut selari dengan Wasiat Raja-Raja Melayu 1957 yang menjamin pemilikan tanah rizab adalah selama-lamanya milik orang Melayu.

Katanya, penukaran status itu memberi kebaikan kepada tuan tanah iaitu jaminan pemilikan sepanjang hayat tanpa perlu memohon sambungan tempoh pajakan.

“Pemilik akan lebih terdorong untuk menjaga dan membangunkan tanah mereka kerana status pemilikan selama-lamanya. Jika pengambilan tanah dibuat sekalipun mereka akan peroleh pampasan sewajarnya.

“Penukaran status ini juga beri manfaat kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan peroleh bayaran cukai pada kadar lebih tinggi, sekaligus dapat mengurangkan beban pentadbiran,” katanya selepas mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat TRM di Hotel V8, di sini hari ini.

Kata Dzulkefly, perbincangan meja bulat itu menghimpunkan wakil-wakil perkampungan bawah status TRM melibatkan daerah Johor Bahru dan Kulai.

“Antara perkampungan terlibat termasuk Kampung (Kg.) Melayu Majidee; Kg. Skudai Kiri; Kg. Pasir; Jalan Denai Kempas; Jalan Lurah Kempas; Kg. Melayu Ulu Choh; Kg. Bukit Tempurung dan Kg. Pendas Baru,” katanya.

Dzulkefly yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkata, antara usul lain dipohon pihaknya termasuklah meminta kerajaan Persekutuan mengenal pasti Model Pembangunan TRM bersesuaian tanpa meminggirkan pemilik asal TRM. 

Katanya, model pembangunan TRM tersebut perlulah bersifat ‘menang-menang’ antara Kerajaan dan pemilik tanah sedia ada. 

“”Selain itu, dua usul lagi adalah kerajaan negeri berikan komitmen untuk menambah keluasan tanah rizab dan penggubalan Pelan Induk Tanah Rizab Melayu (TRM) Nasional sebagai rujukan umum, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×