PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mewujudkan sistem pusat sehenti (One Stop Center) bagi menyelaras semua saluran penawaran pendidikan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ia termasuk tawaran ke tingkatan enam, matrikulasi, pusat asasi dan Unit Pengambilan Universiti (UPU) agar proses kemasukan pelajar lebih teratur dan efisien.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan sistem bersepadu itu penting bagi mengelak pertindihan tawaran dan membolehkan pengurusan tempat kosong dibuat lebih pantas.
Katanya, ketika ini ramai pelajar menerima lebih daripada satu tawaran pendidikan sekali gus menyebabkan berlakunya ketidakcekapan dalam pengurusan penempatan pelajar di institusi pendidikan.
“Pelajar yang pada mulanya menerima tawaran ke tingkatan enam, kemudiannya menarik diri selepas ditawarkan tempat di matrikulasi atau pusat asasi. Keadaan ini merugikan kerana tempat yang ditinggalkan itu tidak dapat diisi segera oleh pelajar lain yang memerlukan.
“Jika wujud sistem pusat sehenti, pelajar akan menerima satu tawaran utama sahaja. Ini dapat membantu mereka membuat keputusan dengan lebih cepat, ibu bapa juga tidak lagi tertunggu-tunggu malah proses rayuan dan pengambilan gelombang kedua akan menjadi lebih teratur,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 80,066 lepasan SPM menerima tawaran memasuki tingkatan enam baru-baru ini, namun hanya 62,729 yang melaporkan diri.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, jumlah pelajar yang hadir mendaftar itu masih boleh dianggap memuaskan memandangkan sebahagian daripada mereka yang menolak tawaran telah melanjutkan pelajaran ke institusi lain seperti matrikulasi, pusat asasi dan universiti awam.
Katanya, angka kira-kira 20 peratus pelajar yang tidak melapor diri bukanlah satu isu besar sebaliknya mencerminkan pelajar kini mempunyai lebih banyak pilihan dalam menyambung pengajian selepas SPM.
“Walaupun tingkatan enam bukan lagi satu-satunya laluan, namun jumlah yang mendaftar masih tinggi dan ini membuktikan ia masih relevan serta menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar,” katanya.
Sementara itu, pakar pendidikan, Dr. Salleh Amat berkata, peningkatan minat terhadap program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program kemahiran lain turut menjadi antara faktor utama pelajar menolak tawaran ke tingkatan enam.
Katanya, perkembangan itu wajar diraikan kerana laluan pendidikan berasaskan kemahiran juga memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara.
“Sebenarnya, kemahiran teknikal yang ditawarkan dalam TVET sangat diperlukan dalam industri. Maka, bukanlah sesuatu yang negatif jika pelajar memilih laluan tersebut.
“Malah, tingkatan enam masih mempunyai kelebihan tersendiri kerana pelajar tidak perlu berhijrah ke negeri lain, sebaliknya boleh terus tinggal bersama keluarga sekali gus menjimatkan kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN











