KANGAR: Perlis memerlukan peruntukan kira-kira RM200 juta bagi menyelesaikan masalah sistem pengairan yang menjadi penghalang utama pelaksanaan penanaman padi lima kali dalam dua tahun secara menyeluruh di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad, infrastruktur saliran yang tidak terurus antara kekangan terbesar merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran padi negara, khususnya di negeri pengeluar utama seperti Perlis dan Kedah.
“Di Perlis, hampir keseluruhan kawasan penanaman padi berdepan isu sistem pengairan. Jika diselesaikan, ia mampu melonjakkan sumbangan negeri ini kepada pengeluaran beras negara daripada 11 peratus kepada 15 peratus,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sistem perparitan dan saliran yang uzur memerlukan penambahbaikan segera termasuk penyelenggaraan berterusan seperti pembersihan sungai yang kini dipenuhi rumput dan mendapan.
Razali berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan diharap dapat menyalurkan peruntukan khusus bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur pertanian di negeri ini sejajar dengan sasaran kerajaan meningkatkan hasil padi menerusi pelaksanaan penanaman lima musim dalam dua tahun.
Februari lalu, kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan RM5.4 bilion bagi meningkatkan hasil padi negara termasuk penambahbaikan infrastruktur, dengan RM1 bilion diperuntukkan untuk fasa pertama pada tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan Madani.
Projek fasa pertama melibatkan 15 blok kawasan penanaman padi dengan enam di Perlis dan sembilan di Kedah, namun, menurut Razali, pelaksanaan di beberapa lokasi termasuk di Kampung Lat 1,000, Tambun Tulang, terpaksa ditangguhkan sementara berikutan masalah saliran.
“Kita mahu pelaksanaan ini menyeluruh, bukan sekadar projek perintis. Tetapi ia hanya boleh dicapai dengan sistem pengairan yang efisien dan menyeluruh. Kita harap peruntukan yang dijanjikan itu disegerakan,” katanya.
Perlis kekal sebagai antara negeri penyumbang utama kepada jaminan bekalan makanan negara dan kejayaan projek ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import. – MINGGUAN










