Pantau SST supaya tidak tekan pengguna

Pantau SST supaya tidak tekan pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Mekanisme pemantauan harga yang lebih cekap perlu dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai lalu tidak memberi tekanan berlebihan kepada perniagaan dan rakyat.

Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, komunikasi dasar yang telus dan penglibatan aktif semua pihak penting bagi memastikan keberkesanan peluasan SST itu.

Katanya, kejayaan atau kegagalan peluasan SST itu banyak bergantung kepada keseimba­ngan antara keperluan negara dan tanggungjawab untuk kebajikan rakyat terutama berkaitan kos sara hidup yang semakin tinggi dan mencabar di sebalik tidak selari dengan pendapatan rakyat.

Ujar beliau, pelaksanaan peluasan SST secara bersasar itu juga mempunyai potensi besar bagi mengukuhkan fiskal Malaysia.

“Bagaimanapun, ia memerlukan perancangan dan pelaksa­naan yang lebih teliti khususnya berkaitan subsidi kepada B40 dan M40,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Shamshul Anaz berkata, secara asasnya terdapat kebaikan dan keburukan pelaksanaan peluasan SST tersebut khususnya bagi menambah hasil pendapatan negara kepada RM5 ke RM10 bilion setahun.

Katanya, antara kebaikan lagi, cukai berkenaan fokus kepada barangan mewah, bukan keper­luan asas selain impak inflasi juga dijangka rendah.

“Malah, hasil itu boleh membantu subsidi rakyat yang lebih progresif kepada B40 dan M40 selain untuk tujuan pembangunan negara,” katanya.

Ujar beliau, daripada segi keburukan pula ia bakal mengurangkan kuasa beli pengguna terutama membabitkan golo­ngan B40 dan M40 disebabkan cukai perkhidmatan meningkat walaupun barangan asas dike­cualikan.

Katanya, selain itu, ia juga dijangka menaikkan kos perkhidmatan seperti sewaan, kesihatan dan pendidikan swasta.

“Antara lain beban kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana daripada segi kos ope­rasi dan sistem. Syarikat mungkin hadapi tekanan margin dan permintaan lemah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×