Militan rekrut buruh Bangladesh

Militan rekrut buruh Bangladesh

MOHD. Khalid Ismail dalam sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) dikesan merekrut ahli baharu di Malaysia dalam kalangan buruh dari negara itu.

Aktiviti itu terbongkar susulan penahanan 36 anggota kumpulan berkenaan dalam operasi polis sekitar Selangor dan Johor.

Ahli kumpulan itu yang terpengaruh dengan fahaman pengganas Islamic State (IS) masuk secara sah ke negara ini untuk bekerja dalam pelbagai sektor yang kemudiannya merekrut buruh rakan senegara
mereka.

Difahamkan, gerakan tersebut diketuai seorang lelaki warganegara Bangladesh dipercayai bekerja sebagai buruh di Johor sejak beberapa tahun lalu.

Gerakan itu ba gaimanapun tidak menjadikan Malaysia negara transit atau sasaran.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, dalam tiga operasi bermula 28 April hingga 21 Jun lalu, kesemua mereka termasuk ketua kumpulan militan berkenaan
berusia 25 hingga 35 tahun telah ditahan.

Katanya, fasa pertama operasi dijalankan pada 28 April dengan menahan enam individu di sekitar Selangor.

“Hasil soal siasat turut mendedahkan kewujudan GMRB yang berpangkalan di Johor. Pada 7 Mei lalu, kita menahan 14 individu termasuk ketua kumpulan di Johor, manakala 16 lagi ditahan pada 19 hingga 21 Jun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima individu sudah dituduh di bawah Bab 6A Kanun Keseksaan atas penyertaan dalam organisasi pengganas dan menyebarkan fahaman ekstremis.

“Seramai 15 individu dise­rahkan kepada Jabatan Imigre­sen untuk diusir manakala 16 lagi masih dalam tahanan di bawah Akta Kesalahan Kesela­matan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, semalam.

Mohd. Khalid berkata, kumpulan itu yang terpengaruh dengan fahaman radikal Isla­mic State (IS) masuk ke negara ini secara sah untuk mencari pekerjaan khususnya dalam sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, kumpulan itu kemudian menyebarkan ideo­logi pengganas IS kepada komuniti migran terutama warga Bangladesh menggunakan platform media sosial dan aplikasi pesanan.

Katanya, tujuan mereka me­rekrut ahli-ahli dalam kalangan warga Bangladesh dipercayai bagi mengumpul dana untuk disalurkan bagi kegiatan ekstremis IS di Syria dan Bangladesh.

“Aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram digu­nakan untuk menyebarkan pro­paganda, melaksanakan pro­ses baiah (sumpah setia), dan menyusun aktiviti rahsia termasuk pengajian agama serta perjumpaan ahli.

“Siasatan lanjut mendedahkan kira-kira 100 ke 150 warga Bangladesh berada dalam kumpulan sembang WhatsApp ter­babit.

“Bagi pengumpulan da­na, ia dikesan melalui aplikasi seper­ti Touch n Go, bKash dan per­khid­matan penghantaran wang antarabangsa,” katanya.

Mohd. Khalid berkata, ahli yang melafazkan baiah dalam talian kemudian akan dilantik sebagai ketua sel untuk memperluas pengaruh kumpulan.

Jelasnya, proses pengambi­lan ahli dilakukan secara berfasa bermula dari saringan ke­­ahlian hingga membentuk kelompok elit.

“Bayaran ahli dan dana bergantung kepada kemampuan mereka dan boleh mencecah RM500 setahun. Tindakan operasi ini bermula sekitar April lalu, namun kegiatan kumpulan dipercayai sudah berjalan hampir setahun sebelum itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×