Zabariah pangku tugas, jawatan Presiden Mahkamah Rayuan

Zabariah pangku tugas, jawatan Presiden Mahkamah Rayuan

ZABARIAH MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hakim Mah­kamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd. Yusof dilantik menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan, susulan persaraan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelantikan itu dibuat oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang menjalankan tugas Ktua Hakim Negara, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dalam surat bertarikh semalam itu, pelantikan Zabariah berkuat kuasa serta-merta dan akan berlangsung sehingga jawatan tersebut diisi secara rasmi.

Sesalinan surat pelantikan itu turut dihantar kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Zamri Bakar dan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Jumirah Marjuki.

Zabariah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan ber­khid­mat dalam badan kehakiman selama lebih 15 tahun dan dianggap antara tokoh kanan yang berpengalaman luas dalam sistem perundangan negara.

Beliau memulakan kerjaya kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 5 Januari 2009 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebelum disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 9 Ogos 2010.

Zabariah pernah bertugas di Mahkamah Tinggi Seremban bermula 2 Januari 2013 sebelum kembali ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2016.

Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 21 Mac 2016 dan dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 Disember 2019.

Pada 10 April lalu, beliau mencapai usia bersara wajib 66 tahun, namun dilanjutkan tempoh perkhidmatan selama enam bulan daripada Yang di-Pertuan Agong dan membolehkannya terus menyumbang dalam institusi kehakiman negara.

Mac lalu, beliau dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), badan yang bertanggungjawab menyaring dan mencadangkan pelantikan hakim kepada Perdana Menteri.

Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan adalah kedudukan kedua tertinggi dalam hierarki badan kehakiman selepas Ketua Hakim Negara.

Pelantikan ini penting bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kehakiman di peringkat tertinggi tidak terganggu sementara menunggu pelantikan rasmi dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN