Pinda Perlembagaan beri SPK syor calon Ketua Hakim Negara

Pinda Perlembagaan beri kuasa penuh SPK syor calon Ketua Hakim Negara

HISHAMUDIN YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perlembagaan Persekutuan wajar dipinda bagi membolehkan pelantikan Ketua Hakim Negara dilaksanakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) tanpa penglibatan badan Eksekutif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini kerana, menurut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Ketua Hakim Negara kini dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, tanpa tertakluk kepada syor SPK.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Hishamudin Yunus berkata, pindaan itu penting bagi menjamin kebebasan badan kehakiman secara menyeluruh serta mengukuhkan prinsip pemisahan kuasa antara cabang Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

“Perlembagaan Persekutuan wajar dipinda supaya tidak lagi ada peranan Eksekutif dalam proses pelantikan hakim.

“Ini bermakna SPK akan terus mempersembahkan nama calon Ketua Hakim Negara kepada Institusi Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat pandangan Majlis Raja-Raja, tanpa tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Hishamudin berkata, walaubagaimanapun beberapa perubahan perlu dibuat dalam aspek pemilihan keanggotaan SPK, berikutan komposisi keanggotaannya ketika ini masih didominasi dalam kalangan hakim, malah semua pelantikan dilakukan oleh Perdana Menteri.

“Perlu ada perubahan supaya terdapat kepelbagaian daripada segi latar belakang anggota serta cara pelantikan mereka agar SPK benar-benar bebas dan tidak dilihat dikawal oleh Eksekutif. Ini semua memerlukan pindaan Perlembagaan,” katanya.

Mengulas kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara ketika ini yang dipangku Hakim Besar Malaya, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, penggabungan dua tugas utama badan kehakiman itu boleh menjejaskan keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab secara efektif.

Katanya, walaupun Hakim Besar Malaya memiliki pengalaman luas termasuk pernah berkhidmat sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, beban tugas yang digalas secara serentak membataskan keupayaan beliau memberi tumpuan penuh terhadap pentadbiran kehakiman.

YAACOB MD. SAM

“Pengurusan badan kehakiman menuntut komitmen sepenuh masa, apatah lagi ia melibatkan urusan semua Mahkamah Tinggi di seluruh negara serta keperluan bersidang bagi kes rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Dengan beban tugas yang besar dan kekangan masa, saya bimbang beliau tidak dapat berfungsi dengan baik dan efektif,” katanya.

Justeru, pelantikan segera Ketua Hakim Negara secara tetap adalah penting untuk memastikan kelangsungan pentadbiran kehakiman berjalan lancar dan lebih tersusun.

Sementara itu, Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Muhamad Hisham Marzuki berkata, negara memiliki calon yang layak dan berwibawa untuk mengisi jawatan tertinggi badan kehakiman itu dan pelantikan rasmi Ketua Hakim Negara perlu disegerakan.

“Ramai hakim Mahkamah Persekutuan yang berpengalaman dan berintegriti masih boleh berkhidmat walaupun menghampiri usia persaraan. Masalah sekarang bukan soal ketiadaan calon, tetapi mungkin wujudnya tekanan atau campur tangan yang menyukarkan pelantikan,” katanya.

Hisham berkata, kelewatan pelantikan bukan sahaja menjejaskan sistem pentadbiran, malah memberi beban tidak wajar kepada Hakim Hasnah yang kini terpaksa memikul tanggungjawab tiga jawatan utama secara serentak.

Katanya, tanggungjawab sebagai Ketua Hakim Negara melibatkan bukan hanya penyusunan panel rayuan, tetapi juga aspek pentadbiran seperti pelantikan dan perpindahan hakim Mahkamah Tinggi, sesuatu yang sepatutnya dikendalikan oleh tiga individu berbeza.

“Pelantikan tidak boleh dilengahkan kerana ia memberi kesan langsung kepada keyakinan rakyat terhadap kebebasan dan kewibawaan badan kehakiman. Ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi soal kepercayaan terhadap sistem keadilan negara,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim diberi mandat untuk melaksanakan tugas Ketua Hakim Negara susulan persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Pelantikan sementara itu berkuat kuasa mengikut Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan tugas itu turut merangkumi semua fungsi Ketua Hakim Negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan, sehingga jawatan berkenaan diisi secara rasmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN