SEREMBAN: Buat julung kalinya solat Jumaat didirikan di Surau Madani yang terletak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah Selatan, Lebuhraya Utara Selatan di sini semalam.
Seramai kira-kira 300 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat pertama tersebut yang mana 60 daripadanya merupakan pemastautin tetap dan pekerja manakala selebihnya adalah pengguna lebuh raya.
Jemaah yang hadir itu melebihi kapasiti kemudahan surau berkenaan yang mampu menampung 150 jemaah lelaki pada satu-satu masa dengan surau perempuan turut digunakan untuk solat tersebut.
Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad (Plus), Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, ini adalah detik bersejarah bagi Plus dan industri lebuh raya dengan kejayaan pelaksanaan solat Jumaat pertama di kawasan R&R.
“R&R Seremban dipilih dengan mengambil kira beberapa faktor selain kebenaran daripada pihak berkuasa agama.
“Kami kena bincang dengan jabatan agama untuk melihat semua keperluan untuk menunaikan solat Jumaat, tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Nik Airina, kemudahan surau yang besar di R&R Seremban dapat memenuhi jumlah pengguna lebuh raya yang singgah serta mengambil kira bilangan pekerja yang bermastautin di sebelum memutuskan untuk melaksanakan solat Jumaat.
Surau itu diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat selepas pengisytiharan yang disempurnakan Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin, kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Surau Madani yang juga pemilik premis makanan Kodai Hijau di R&R Seremban, Alias Jaafar, 53, berkata, tiada alasan untuk dirinya serta pekerja lain untuk tidak menjalankan solat Jumaat dengan kemudahan surau tersebut.
“Inisiatif Plus menyediakan surau solat Jumaat ini amat memudahkan pekerja dan rakan perniagaan di sini. Kalau dulu terpaksa ke masjid berdekatan yang mengambil masa setengah jam juga pergi balik selain perlu bergilir-gilir untuk mendirikan solat,” katanya.-UTUSAN.










