PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menyediakan data terperinci berkaitan penempatan dan pengagihan guru mengikut opsyen serta keperluan sebenar di semua sekolah seluruh negara.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sehingga kini masih tiada maklumat lanjut mengenai pecahan penempatan berdasarkan subjek atau opsyen pengkhususan meskipun isu kekurangan guru berjaya diatasi.
“Kita mahu tahu secara jelas, sekolah mana yang masih kekurangan guru, dalam subjek apa, dan berapa bilangan kekurangan tersebut.
“Oleh itu, KPM perlu telus dan keluarkan data terperinci. Penempatan guru seharusnya dilakukan secara bersasar, bukan sekadar mengisi kekosongan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan isu kekurangan lebih 22,000 guru di negara ini berjaya diselesaikan dengan kerjasama bersama KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP).
Anuar berkata, ketepatan dalam menempatkan guru berdasarkan opsyen pengajian amat penting kerana memberi kesan langsung kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran.
“Kita tidak mahu berlaku situasi di mana guru yang dilatih dalam bidang Sejarah akhirnya mengajar Matematik. Ini berlaku apabila unjuran dan perancangan data tidak dibuat secara menyeluruh dan tepat,” katanya.
Bagaimanapun kata Anuar langkah kerajaan meningkatkan pengambilan guru berkualiti tinggi dipuji kerana mencerminkan kesungguhan kerajaan memperkasa sistem pendidikan negara.
Seorang lagi pakar pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, UKM, Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, keberkesanan penempatan guru sebenarnya hanya dapat dilihat sekiranya mereka dapat menjalankan tugas hakiki dengan berkesan.
“Meskipun penambahan guru ini sangat membantu, terutamanya apabila ada guru bercuti sakit, bersalin atau menghadiri kursus luar. Namun, kita juga perlu lihat realiti di sekolah. Bilangan pelajar dalam kelas masih ramai dan keperluan guru ganti masih tinggi,” katanya.
Menurut Salleh, beban tugas bukan akademik seperti urusan pentadbiran dan pelaksanaan program sekolah boleh menjejaskan fokus guru terhadap tugas mengajar dengan ia perlu diberikan perhatian serius oleh pihak kementerian. – UTUSAN











