MARANG: Ahli keluarga dan pimpinan Pas yang dekat dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak pernah mendengar Ahli Parlimen Marang itu mahu berundur daripada jawatan Presiden Pas.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi berkata, ura-ura pengunduran itu hanya ditimbulkan oleh pihak luar menjelang Muktamar Pas Kali Ke-71, September ini.
Malah, katanya, isu berkenaan sudah diulas oleh kepemimpinan tertinggi Pas termasuk terbaharu oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpandangan jawatan Presiden perlu dikekalkan kepada Abdul Hadi.
“Ura-ura itu (Abdul Hadi undur jawatan Presiden Pas), kami di dalam tak dengar. Yang berbunyi di luar. Timbalan Presiden pun dah sebut. Kami yang dekat, (ahli) keluarga pun tidak dengar. Yang dengar ini orang luar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas mengikuti kuliah duha disampaikan Abdul Hadi dan mengadakan pertemuan ringkas dengan beliau di Masjid Rusila di sini, semalam.
Mohd. Syahir berkata, kesihatan Abdul Hadi Awang bertambah baik selepas menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) minggu lalu dengan menunjukkan proses pemulihan yang sangat cepat.
Katanya, doktor yang merawat Presiden Pas itu turut berpuas hati dengan perkembangan pemulihannya.
Menurut beliau, Abdul Hadi akan lebih banyak menghadiri program-program terbuka dan secara fizikal selepas ini.
“Kesihatan Tok Guru (Abdul Hadi) sangat baik, lebih baik daripada sebelum ini. Selepas ini akan banyak lagi program secara terbuka. Tok Guru pun sudah hadir kuliah (duha). Semalam pun kami ada mesyuarat. Jadi tidak ada halangan program-program fizikal untuk Tok Guru hadir,” katanya.
Sementara itu, pengiring Abdul Hadi meminta petugas media memberi ruang kepada Presiden Pas berkenaan daripada mengeluarkan kenyataan apabila dihampiri selepas beliau selesai menyampaikan kuliah duha tersebut.
Abdul Hadi kembali menyampaikan kuliah selepas lebih sebulan tidak melakukan kerana menjalani prosedur rawatan di IJN pada 17 Jun lalu.
Kuliah duha menjadi rutin mingguan Abdul Hadi setiap Jumaat sejak berpuluh tahun lalu dan kali terakhir beliau menyampaikannya adalah pada 30 Mei lalu.
Isnin lalu, walaupun masih dalam fasa pemulihan, Abdul Hadi tetap hadir menunaikan solat jenazah untuk bekas Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, Allahyarham Hamzah Ngah di Masjid Rusila.-UTUSAN










