BALING: Tiga tahun selepas tragedi kepala air yang meragut tiga nyawa di Kampung Iboi, Kupang, penduduk di kawasan itu kini menarik nafas lega apabila pembinaan Empangan Sabo yang menjadi pelindung utama daripada bencana telah mencapai 62 peratus kemajuan.
Kejadian pada 4 Julai 2022 itu dianggap paling ngeri dalam sejarah kampung apabila limpahan air deras dari Gunung Inas membawa puing, bongkah batu, pasir dan lumpur, memusnahkan rumah dan meragut nyawa sekelip mata. Penduduk menyifatkan kejadian itu umpama tsunami kecil yang mengubah landskap dan kehidupan mereka selama-lamanya.
Namun kini, pembinaan empangan yang berfungsi memperlahankan arus deras serta menahan puing dari hulu sungai memberi sinar baharu buat pendudk yang sekian lama trauma.
Bekas Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Husain, 60, berkata, empangan tersebut amat penting untuk mengurangkan risiko bencana dan menenangkan penduduk setiap kali hujan lebat melanda.
“Kita tidak boleh halang bencana, tetapi dengan empangan ini, kesan dan kerosakan boleh dikurangkan. Ia memberi keyakinan semula kepada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, jambatan yang rosak sebelum ini turut diganti termasuk di Kampung Padang Empang, Kampung Iboi dan Lata Celak.
“Jambatan Bailey yang dibina sementara juga dijangka diganti tidak lama lagi,” katanya.-UTUSAN.









