JEMPOL: “Apabila Adib sudah sembuh, saya akan beri apa sahaja yang dia teringin hendak makan”.
Itulah luahan NoorBaizura Mohd. Farid, 43, ketika berkongsikan tentang keadaan anak bongsunya, Adib Rasul Dzulkarnain, 10, yang menghidap sindrom Nager iaitu sejenis penyakit genetik jarang jumpa yang mempengaruhi perkembangan tulang.
Katanya, penyakit tersebut menyebabkan Adib mempunyai kelainan pada struktur muka, tangan, kaki dan anggota badan lain.
Menurutnya, Adib juga tidak mempunyai rahang ketika dilahirkan yang menyebabkan saluran pernafasannya sempit sehingga tidak mampu bercakap.
Kata NoorBaizura, selepas melahirkan Adib di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, dia memang mendapati sesuatu tidak kena kerana anaknya tidak menangis selain keadaan fizikal yang tidak normal.
“Semasa lahir dia tidak menangis, doktor tepuk-tepuk pun, dia tak menangis. Doktor terus ambil bawa keluar dari dewan bersalin. Kemudian doktor terus pindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS)” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kuala Jempol di sini.
Katanya, Adib kemudian ditahan selama enam bulan di HTJS sebelum disahkan menghidap sindrom Nager di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika dia berusia lapan bulan.
Menurut NoorBaizura, buat masa ini, anaknya hanya minum susu melalui tiub di perut serta tidak mampu untuk memakai baju sendiri.
“Setakat ini, Adib sudah dua kali menjalani pembedahan membabitkan tulang rahang pada 2017 dan 2018 kerana saluran pernafasan sempit dan pemasangan trakea ketika umurnya enam bulan bagi memudahkannya untuk bernafas,” katanya.
“Saya dan suami kini sedang mengumpul wang bagi menampung kos pembedahan seterusnya yang dijangka dijadualkan pada Ogos depan. Kos pembedahan kali ini dianggarkan sebanyak RM 37,925 dan memang kami tidak mampu.
“Sepatutnya pembedahan ini dijalankan pada 25 Julai tetapi ditunda, sekarang ini saya dan suami sudah berjaya mengumpul sebanyak RM25,000 hasil sumbangan orang ramai termasuk duit bantuan RM10,000 daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)” katanya.
Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0500341000069297 atas nama NoorBaizura Mohd Farid.-UTUSAN.










