JOHOR BAHRU: Sindiket dadah yang menawarkan bilik karaoke khas untuk pelanggannya berhibur sambil khayal tumpas apabila sembilan anggotanya termasuk dalang ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar bandar raya ini pada 20 dan 21 Jun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, suspek berusia antara 21 hingga 64 tahun itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita tempatan membabitkan seorang lelaki Singapura, dua wanita Vietnam dan satu wanita Laos.
“Modus operandi sindiket ini adalah selain jualan secara online (dalam talian), mereka juga menyediakan bilik khas dengan set karaoke untuk pelanggan berhibur sambil khayal.
“Difahamkan perkhidmatan karaoke itu disediakan percuma kepada pelanggan, manakala dadah peket kecil dijual pada harga RM150 serta dadah campuran peket satu kilogram dijual RM5,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Kumar berkata, dua daripada tiga premis diserbu telah diubah suai bagi tujuan tersebut, dengan dua premis terletak di tingkat sama dan bangunan sama bagi memudahkan kegiatan tersebut berleluasa. – UTUSAN









