PASIR MAS: Lima suspek termasuk pasangan suami isteri yang ditahan selepas dipercayai terlibat kegiatan pengedaran dadah jenis pil kuda seberat 35.4 kilogram (kg) dengan nilai RM5.04 juta, minggu lalu disambung reman tujuh hari.
Perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 25 tahun hingga 39 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Azmi sehingga 11 Julai ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, semua suspek sebelum ini sudah ditahan reman tujuh hari bermula 28 Jun lalu.
Menurutnya, permohonan lanjutan reman itu dijalankan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, taktik licik sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah kedai makan menyembunyikan dadah jenis pil kuda seberat 19.86 kg di dalam timbunan najis lembu di sebuah kandang di Kampung Bukit Tunku, di sini, terbongkar dalam enam siri serbuan, minggu lalu.
Dadah itu dirampas selepas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan seorang lelaki berusia 34 tahun semasa memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia di Jalan Gajah Mati Banggol Chicha pada 27 Jun lalu. – UTUSAN










