KUALA LUMPUR: Sebarang gesaan untuk menghentikan pembinaan Kota Madani hanya akan menidakkan keperluan menyelesaikan isu perumahan yang dihadapi penjawat awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, projek itu adalah untuk keselesaan penjawat awam yang 60 peratus daripadanya menetap di Putrajaya.
“Kota Madani ini adalah satu keperluan. Seperti yang saya sebut dalam ucapan saya juga, bahawa mereka yang menunggu, terutamanya penjawat awam ini, ramai sehingga 17,000 orang.
“Maka unit yang kita bina nanti untuk dalam Kota Madani, lebih kurang 10,000 orang, ia akan membantulah sedikit sebanyak untuk menyelesaikan masalah rumah ataupun kuarters yang diperlukan oleh penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bintang Utara di sini semalam.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa kerajaan menghentikan cadangan pembinaan Kota Madani ketika hutang negara didakwanya semakin melebar dan ekonomi rakyat kian menghimpit.
Dalam perkembangan lain Zaliha berkata, pihaknya kini dalam proses pemutihan dan saringan bagi memastikan hanya benar-benar layak dapat menerima manfaat Projek Perumahan Rakyat (PPR)
Katanya, laporan penuh kejadian tanah jerlus yang melibatkan seorang warga India di Jalan Masjid India pada Ogos lalu akan dibentangkan ke jemaah menteri selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Sementara itu katanya, terdapat keperluan untuk saringan kesihatan mata dijadikan sebagai komponen tetap dalam orientasi murid tahun satu.selepas dapatan yang diperoleh daripada pemeriksaan mata yang dijalankan, sebanyak 55 peratus kanak-kanak daripada 2,008 murid mempunyai masalah penglihatan.
Daripada jumlah tersebut, jelas Zaliha, 88 peratus menghidapi masalah rabun, empat peratus rabun warna dan lapan peratus mengalami masalah juling.
“Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui program Amblyopia and Visual Impairment Screening atau AVIS pada tahun 2023 mendapati hampir 30 peratus daripada kanak-kanak prasekolah di Malaysia mengalami masalah penglihatan.
“Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah, mereka tidak sedar akan perkara tersebut. Kanak-kanak ini mungkin mempunyai tahap pencapaian akademik dan tahap keyakinan diri yang lebih rendah berbanding rakan sebaya mereka yang mempunyai penglihatan normal.
“Kemungkinan yang lebih besar lagi, gangguan penglihatan ini mungkin boleh menyebabkan kelewatan anak-anak ini dalam perkembangan motor, kognitif dan bahasa yang berkemungkinan berkekalan sepanjang hayat,” ujarnya.
Katanya, Program Mata Hati Wilayah telah dilancarkan sejak tahun lalu sebagai usaha bagi menangani masalah kesihatan mata di kalangan kanak-kanak sekolah rendah. – UTUSAN










