KOTA BHARU: Kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh kawasan di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah, dekat sini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub berkata, ketika ini proses reka bentuk dan kajian berkaitan kaedah pembaikian sedang dilakukan.
“Proses ini mengambil masa empat bulan sebelum kerja-kerja membaik pulih dilakukan sepenuhnya selepas itu. Selepas itu kerja-kerja baik pulih akan dilakukan dengan segera bagi memastikan kawasan itu selamat,”‘ katanya pada Program Kacau Asyura Perdana JKR Kelantan 2025 di pejabat JKR di sini hari ini
Nik Soh berkata, projek membaik pulih itu menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan berjumlah RM6.6 juta.
Utusan Malaysia sebelum inu melaporkan, Kerajaan Kelantan merakam ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan peruntukan lebih RM6.6 juta bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah dekat sini yang runtuh pada 26 November tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Nik Soh berkata, Kelantan turut menerima peruntukkan lebih RM2 billion daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek Lebuh Raya Kota Bharu- Kuala Krai (KBKK), Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) serta infrastruktur jalan di seluruh negeri. – UTUSAN











