PETALING JAYA: Pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan perlu dilakukan serta-merta supaya tidak menjejaskan perjalanan dan pentadbiran sistem kehakiman Malaysia.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Sam berkata, Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan itu merupakan jawatan terpenting dalam badan kehakiman negara.
Menurutnya, Ketua Hakim Negara bertanggungjawab mempengerusikan persidangan-persidangan Mahkamah Persekutuan dan juga menjadi Pengerusi kepada Suruhanjaya Pelantikan Hakim-Hakim (JAC).
“Maka itu adalah penting untuk jawatan Ketua Hakim Negara diberikan keutamaan untuk diisikan dengan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.
“Kelewatan melantik Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu akan menjejaskan perjalanan dan pentadbiran badan kehakiman Malaysia yang memerlukan perjalanan dan pelaksanaan kuasa-kuasa oleh Ketua Hakim Negara sebagai ketua badan kehakiman dan Presiden Mahkamah Rayuan sebagai ketua kepada Mahkamah Rayuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara kelmarin.
Tengku Maimun merupakan Wanita pertama memegang jawatan Ketua Hakim Negara sejak 2 Mei 2019 bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum.
Difahamkan, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim juga bersara wajib mulai semalam.
Persoalan berhubung Ketua Hakim Negara yang baharu masih menjadi tanda tanya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di luar dalam rangka lawatan kerjanya ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil bermula kelmarin sehingga Isnin depan.
Dalam urusan pelantikan hakim, Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan, semua pelantikan hakim ke jawatan pentadbiran tertinggi hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Yaacob yang kini merupakan Peguambela dan Peguamcara berkata, Presiden Mahkamah Rayuan adalah jawatan kedua tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia.
Katanya, sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, individu dilantik bukan saja bertanggungjawab sebagai ketua kepada Hakim Mahkamah Rayuan malah turut menggalas jawatan sebagai Hakim di Mahkamah Persekutuan.
“Maka itu terdapat kesegeraan yang amat penting untuk Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu dilantik untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain berpandangan pelantikan Ketua Hakim Negara baharu yang masih belum dilaksanakan tidak perlu dipolitikkan oleh sesetengah pihak.
Katanya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Namun budi bicara Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong telah menjadi polemik seolah-olah Perdana Menteri mencampuri urusan pelantikan Ketua Hakim Negara.
“Pada pandangan saya, Perdana Menteri boleh menyembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong calon Ketua Hakim Negara tanpa tertakluk kepada syor daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan amalan ini pernah berlaku sebelum ini.
“Malah JAC tidak mempunyai kuasa yang mengatasi peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Majlis Peguam Malaysia menyelar cara kerajaan menangani isu peralihan kepemimpinan tertinggi badan kehakiman susulan persaraan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, kelewatan melantik pengganti menunjukkan kegagalan merancang serta mencetuskan persoalan terhadap komitmen kerajaan dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
“Tindakan melengahkan pelantikan Ketua Hakim Negara baharu memberi isyarat tidak baik kepada rakyat. Ia menunjukkan seolah-olah institusi kehakiman boleh dibiarkan tanpa hala tuju,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










