ADEN: Kumpulan pemberontak Houthi di Yaman pada Selasa mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke arah Lapangan Terbang Ben Gurion, yang terletak di tengah Israel, menurut laporan agensi berita Xinhua.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, dalam kenyataan yang disiarkan menerusi saluran televisyen al-Masirah yang dikendalikan kumpulan itu, berkata mereka melaksanakan “operasi ketenteraan khas” menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik jenis Palestine-2 yang menyasarkan lapangan terbang utama di Tel Aviv itu.
Sarea mendakwa serangan tersebut berjaya mengenai sasaran, menyebabkan jutaan penduduk terpaksa berlindung serta mengganggu operasi lapangan terbang berkenaan.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa beberapa serangan menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) turut dilancarkan ke atas “tiga lokasi sensitif” di Eilat, Tel Aviv dan Ashkelon.
Beliau menegaskan bahawa serangan itu merupakan sebahagian daripada sokongan berterusan Houthi terhadap rakyat Palestin, dan operasi ketenteraan akan diteruskan selagi Israel tidak menghentikan serangan ke atas Gaza.
Sementara itu, tentera Israel dalam kenyataan berasingan mengesahkan bahawa peluru berpandu telah dilancarkan dari arah Yaman ke arah wilayah Israel, mencetuskan bunyi siren kecemasan di kawasan tengah dan selatan negara itu.
Namun begitu, menurut pihak tentera Israel, peluru berpandu tersebut berjaya dipintas dan tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.
Susulan kejadian itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berikrar akan melancarkan tindakan balas terhadap kumpulan Houthi atas serangan berkenaan.










