CIUDAD JUAREZ: Pihak berkuasa di utara Mexico menemukan 381 mayat bertimbun di sebuah tempat pembakaran mayat swasta di Ciudad Juarez.
Jurucakap Pejabat Pendakwa Negeri Chihuahua, Eloy Garcia, berkata kesemua mayat tersebut ditemukan dalam keadaan tidak dibakar seperti sepatutnya.
“Setakat ini, secara awalnya kami menganggarkan terdapat 381 mayat yang disimpan secara tidak teratur di tempat pembakaran mayat ini dan tidak dikremasi (proses membakar mayat),” katanya.
Menurut Garcia, kesemua mayat tersebut dipercayai telah diawet, namun hanya diletakkan begitu sahaja tanpa susunan yang betul di dalam beberapa bilik premis berkenaan.
“Mayat itu hanya dibuang begitu sahaja, bertindih antara satu sama lain di atas lantai tanpa disusun,” katanya sambil memaklumkan sebahagian daripada mayat itu dipercayai sudah berada di situ selama hampir dua tahun.
Laporan awal media tempatan sebelum ini hanya menyebut jumlah sekitar 60 mayat ditemui di lokasi tersebut.
Garcia turut mendedahkan waris kepada mangsa telah diberikan bahan lain sebagai ganti kepada abu mayat sebenar.
Beliau menyifatkan tindakan pengendali krematorium itu sebagai satu bentuk kecuaian dan tidak bertanggungjawab memandangkan setiap premis tahu had kemampuan pengkremasian harian masing-masing.
Seorang daripada pentadbir tempat pembakaran berkenaan menyerah diri kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut namun, pihak pendakwa tidak dapat mengesahkan sama ada mayat-mayat yang ditemui itu merupakan mangsa keganasan jenayah.
Mexico yang sekian lama bergelut dengan isu jenayah terancang turut berdepan krisis sistem forensik yang kronik termasuk kekurangan kakitangan, kekangan belanjawan dan lambakan jumlah mayat yang perlu diuruskan. – AGENSI










