WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan kit panduan peluru berpandu bernilai AS$510 juta (RM2.13 bilion) kepada Israel, menurut pengumuman Jabatan Negara AS..
Jualan itu melibatkan 3,845 unit KMU-558B/B Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk peluru BLU-109 dan 3,280 unit KMU-572 F/B JDAM untuk peluru MK 82.
Pakej turut merangkumi sokongan kejuruteraan, logistik dan teknikal berkaitan, menurut kenyataan Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan (DSCA).
“Cadangan jualan ini akan meningkatkan keupayaan Israel untuk menangani ancaman semasa dan akan datang terutamanya dalam mempertahankan sempadan, infrastruktur penting serta kawasan berpenduduk,” kata DSCA.
Langkah ini diumumkan ketika Israel meneruskan serangan ganas ke atas Gaza. Sejak Oktober 2023, lebih 56,500 rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
AS kini berdepan tekanan antarabangsa yang semakin hebat berhubung sokongan ketenteraannya kepada Israel khususnya selepas jumlah korban awam di Gaza terus meningkat.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan tindakan ketenteraannya di wilayah itu yang disifatkan ramai pemerhati sebagai bencana kemanusiaan terbesar dalam era moden.










