LONDON: Seramai 67 ahli Parlimen Britain mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer mewujudkan satu skim visa khas bagi rakyat Palestin di Gaza yang mempunyai ahli keluarga menetap di Britain.
Gesaan itu disampaikan melalui sepucuk surat rasmi yang ditujukan kepada Perdana Menteri serta Setiausaha Dalam Negeri, Yvette Cooper, agar menubuhkan Gaza Family Scheme iaitu mirip skim visa Ukraine Family Scheme yang diperkenalkan pada 2022 bagi membantu pelarian dari Ukraine berikutan pencerobohan Rusia.
“Kami percaya kemurahan hati yang sama sepatutnya dilanjutkan kepada keluarga Palestin,” ujar surat tersebut seperti yang dilaporkan Sky News.
Antara yang menandatangani surat itu termasuk 35 ahli Parlimen Parti Buruh, beberapa ahli Dewan Pertuanan, serta tokoh-tokoh yang kini digantung keahlian parti pemerintah, termasuk bekas pemimpin Buruh Jeremy Corbyn dan bekas Canselor Bayangan, John McDonnell.
Keempat-empat ahli Parlimen Parti Hijau turut menandatangani surat berkenaan, bersama bekas pemimpin Liberal Demokrat, Tim Farron, dan Uskup Chelmsford, Dr. Guli Francis-Dehqani.
Surat itu menuduh Israel memungkiri perjanjian gencatan senjata sementara dengan Hamas dan melancarkan siri serangan udara serta ketenteraan yang turut menyasarkan orang awam yang sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Ahli Parlimen Marsha de Cordova, yang mengetuai inisiatif surat berkenaan bersama kempen Gaza Families Reunited, berkata skim visa Ukraine sebelum ini merupakan tindakan yang tepat terhadap peperangan yang kejam, an mewujudkan skim serupa untuk Gaza adalah kesinambungan prinsip yang sama.
“Kerajaan perlu bertindak segera bagi membantu rakyat Palestin di UK membawa ahli keluarga mereka ke tempat selamat, demi membolehkan mereka membina semula kehidupan,” katanya.
Surat itu turut menyatakan skim yang dicadangkan ini mampu menyatukan semula keluarga “yang mungkin tidak akan dapat bertemu lagi kecuali tindakan segera diambil.”
Ramai warga Gaza yang ingin ke Britain berdepan kesukaran besar untuk mengemudi sistem imigresen sedia ada dan usaha untuk memohon visa juga dikatakan hampir mustahil ekoran kemusnahan pusat permohonan visa di Gaza serta penutupan sempadan Rafah.











