PETALING JAYA: Kedudukan jawatan dalam kerajaan negeri melibatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang berdepan pertuduhan rasuah hari ini akan ditentukan kemudian.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu perlu diteliti sepenuhnya selepas menerima maklumat dan laporan lengkap.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited untuk memastikan integriti dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
“Kita menghormati undang-undang dan kita akan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya. Kerajaan negeri GRS tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemimpin kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Kinabalu dengan dua pertuduhan memberi rasuah melibatkan nilai RM350,000 berhubung permohonan lesen cari gali mineral di Sabah.
Turut didakwa dua ADUN Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Datuk Yusof Yacob (Sindumin) atas pertuduhan menerima rasuah.
Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu memberikan wang rasuah dan Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 kerana menerima wang rasuah.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan seorang ADUN dan seorang ahli perniagaan kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.
Pada 23 Jun lalu, Azam mengesahkan penahanan seorang lagi ADUN kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 atas skandal sama. – UTUSAN










