GEORGE TOWN: Pelaksanaan saman sebanyak RM300 terhadap penumpang bas ekspres yang tidak memakai tali pinggang keledar disifatkan sebagai langkah yang wajar daripada segi keselamatan.
Bagaimanapun, kerajaan disaran memberi tempoh masa tertentu bagi tujuan pendidikan dan kesedaran sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan.
Pengerusi Keilmuan Nasional Pulau Pinang, Azdy Mohd. Arshad berkata, tujuan utama dasar ini sepatutnya adalah untuk menyelamatkan nyawa, bukan menghukum atau menjana hasil melalui saman yang dikenakan kepada penumpang bas ekspres.
“Satu tempoh tertentu untuk mendidik dan menyedarkan pengguna perlu diperuntukkan sebelum kerajaan mengenakan saman terhadap mereka yang ingkar,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli dipetik sebagai berkata, semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa hari ini.
Katanya, mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300.
Mengulas lanjut, Azdy berkata, kesedaran keselamatan perlu ditanam dalam diri setiap pengguna perkhidmatan bas ekspres menerusi pendekatan pendidikan dan bukan sekadar ugutan saman.
“Langkah utama yang perlu dilaksanakan adalah meningkatkan tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan penumpang.
“Ini tanggungjawab bersama, bukan hanya pihak berkuasa, tetapi juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, malah syarikat pengendali bas sendiri,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan Naib Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permin), Mohamed Rizwan Abdul Ghafor Khan yang berkata, kerajaan tidak boleh tergesa-gesa mewajibkan pemakaian alat keselamatan itu tanpa mendidik penumpang terlebih dahulu.
Menurutnya lagi, budaya pemakaian tali pinggang keledar perlu dipupuk terlebih dahulu dalam kalangan pengguna kenderaan persendirian sebelum diterapkan kepada penumpang bas.
“Kalau dalam kereta pun belum ada kesedaran, bagaimana pula kita nak harapkan mereka mudah terima di dalam bas?” soal beliau.
Mohamed Rizwan turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan kos yang mungkin ditanggung oleh penumpang sekiranya pelaksanaan pemakaian tali pinggang itu melibatkan caj tambahan.
“Penumpang bas ni kebanyakannya adalah daripada golongan sederhana atau kurang mampu seperti pelajar, pekerja.
“Jika kadar saman sehingga RM300 seorang, itu sangat membebankan,” katanya.-UTUSAN.










