ALOR SETAR: Gangguan bekalan air yang berlarutan di kawasan Perumahan Desa KEDA Lahar Tunjung, Pendang dikenal pasti berpunca daripada kerosakan paip air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Jeneri, Sik yang menjejaskan pengagihan air terawat ke kawasan itu.
Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia memaklumkan, kerosakan berlaku susulan kerja penanaman kabel oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggunakan kaedah Horizontal Directional Drilling (HDD) yang menyebabkan paip pecah dan berlaku kebocoran berulang.
“Keadaan ini memaksa LRA Jeneri dihentikan operasi selama lebih lapan jam pada 23 dan 27 Jun lalu bagi kerja-kerja pembaikan,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah SADA, akibat daripada henti tugas loji, Tangki Bukit Perak yang membekalkan air ke kawasan sekitar termasuk Bukit Chengai dan Bukit Lalang mencatat paras air rendah sehingga menyukarkan agihan melalui sistem paip retikulasi.
“Gangguan lebih ketara berlaku di kawasan penghujung agihan seperti perumahan KEDA Lahar Tunjung,” jelasnya.
Katanya, bagi mengurangkan beban pengguna, dua unit lori tangki jumbo digerakkan sebagai Pusat Agihan Bekalan (PAB) di Masjid Kampung Tengah dan SMK Sungai Tiang pada 27 dan 28 Jun lalu.
“Bekalan melalui lori tangki turut diteruskan secara berjadual namun pengguna melaporkan ia masih tidak mencukupi untuk keperluan harian, terutamanya pada waktu puncak penggunaan.
“LRA Jeneri kembali beroperasi secara penuh pada awal pagi 28 Jun selepas kerja pembaikan selesai lewat malam sebelumnya, namun proses pemulihan agihan dijangka mengambil masa,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kira-kira 700 penduduk di perumahan berkenaan berhadapan dengan kesukaran untuk menguruskan kehidupan setelah terputus bekalan air sejak lima hari lalu.
Terpaksa mandi dan membasuh di rumah mentua kerana bekalan air terputus sejak lima hari lalu merupakan antara pengalaman terpaksa diharungi mereka.
Gangguan bekalan air yang didakwa berlarutan sejak setahun lalu semakin buruk apabila penduduk berdepan tekanan ekoran tanpa bantuan mencukupi daripada pihak berkaitan.-UTUSAN.










