Knesset tuduh Netanyahu pergunakan perang Gaza hentikan bicara rasuah

Knesset tuduh Netanyahu pergunakan perang Gaza hentikan bicara rasuah

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Sejumlah ahli Knesset (Parlimen Israel) menuduh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menggunakan perang berterusan di Gaza sebagai alat untuk menghentikan perbicaraan rasuah terhadapnya, menurut laporan Anadolu.

Ahli Parlimen Parti De­mokrat, Naama Lazimi dalam kenyataan yang dipetik The Times of Israel berkata, Netanyahu menjadikan masa depan Israel dan rakyatnya sebagai tebusan demi menyelamatkan dirinya daripada perbicaraan.

Beliau turut mendakwa Netanyahu tidak layak memegang jawatan kerana didakwa menukar pendakwaannya dengan penyelesaian politik dan penamatan perang.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekali lagi menggesa perbicaraan rasuah terhadap Netanyahu dibatalkan pada Sabtu dengan menyatakan AS membelanjakan berbilion dolar setahun untuk menyokong Israel.

Ahli Parlimen Parti Demokrat, Gilad Kariv turut mengecam kenyataan itu dan menyifatkan mereka yang berada di belakang media sosial Trump sebagai ‘Netanyahu dan kumpulan korupnya’.

Beliau menuduh mereka sanggup memperjudikan keselamatan negara dan isu tebusan semata-mata untuk menyelamatkan Netanyahu daripada hukuman mahkamah.

Kumpulan pejuang Palestin, Hamas berulang kali menyatakan kesediaan mereka untuk membebaskan semua tawanan Israel di Gaza dengan syarat perang dihentikan, tentera Israel berundur dari Gaza dan tahanan Palestin dibebaskan.

Namun, Netanyahu menolak syarat itu dan meneruskan kempen ketenteraan yang digambarkan sebagai pembunuhan beramai-ramai yang telah meragut lebih 56,400 nyawa sejak Oktober 2023.

Ahli Parlimen Karine Elharrar dari parti Yesh Atid menuduh Netanyahu bertindak bertentangan dengan kepentingan rakyat Israel apabila cuba mengaitkan nasib peribadinya dalam mahkamah dengan rundingan tebusan dan perjanjian normalisasi serantau.

Ketua pembangkang, Yair Lapid turut menggesa Trump supaya tidak campur tangan dalam proses undang-undang sebuah negara berdaulat dan menyifatkan tindakan Trump mungkin merupakan satu bentuk pampasan politik kepada Netanyahu terhadap keputusan berkaitan Gaza.

Sementara itu, ahli parlimen Parti Zionisme Agama, Simcha Rothman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan, Undang-Undang dan Kehakiman Knesset menyifatkan gesaan Trump itu sebagai tidak wajar.

Netanyahu kini berdepan tiga pertuduhan utama iaitu rasuah, penipuan dan pecah amanah yang jika disabitkan, boleh membawa kepada hukuman penjara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×