Sistem amaran ditamatkan, 60 juta penduduk AS berisiko dibadai taufan

Sistem amaran ditamatkan, 60 juta penduduk AS berisiko dibadai taufan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jutaan penduduk di Amerika Syarikat (AS) berdepan risiko besar menjelang musim taufan tahun ini selepas Pentagon secara mengejut menamatkan program membekalkan data ramalan taufan tepat pada masanya.

Bermula 30 Jun, kerajaan persekutuan tidak lagi memproses atau berkongsi data daripada tiga satelit cuaca utama yang digunakan untuk meramalkan pembentukan taufan antara 10 hingga 12 jam lebih awal satu keputusan yang dianggap pakar sebagai mengancam nyawa dan keselamatan rakyat, terutamanya di kawasan Pantai Timur dan Teluk Mexico, yang dihuni lebih 60 juta penduduk.

Keputusan itu dijangka menjejaskan amaran awal taufan, mengurangkan ketepatan model ramalan dan memendekkan masa bagi proses pemindahan penduduk.

Pada Mei lalu, pihak berkuasa meramalkan musim taufan 2025 akan menjadi lebih aktif daripada biasa, dengan 13 hingga 19 ribut tropika dinamakan, termasuk enam hingga 10 taufan iaitu tiga hingga lima daripadanya berpotensi menjadi taufan besar kategori 3 atau lebih tinggi.

Musim lalu mencatat kematian sekitar 400 orang, menjadikannya musim paling maut sejak 2005 dan pakar cuaca di AccuWeather pula menjangkakan sehingga enam taufan besar boleh melanda daratan AS secara terus tahun ini sama seperti tahun lalu yang menyebabkan kerugian melebihi AS$500 juta (RM 2 bilion), dengan Taufan Helene dan Milton menjadi paling merosakkan.

Ketiga-tiga satelit yang ditamatkan itu menyediakan data gelombang mikro membolehkan saintis melihat struktur dalaman taufan, memantau corak angin dan hujan walaupun dalam keadaan berawan dan gelap.

Tanpa data ini, ramalan boleh kehilangan sehingga 10 jam amaran awal, terutamanya dalam kes-kes taufan yang menguat secara mendadak.

Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), aliran data satelit itu dihentikan secara rasmi pada 27 Jun, iaitu menjelang musim puncak taufan bermula Julai dan menyatakan mereka menggunakan alat serta satelit lain sebagai pengganti, menyifatkannya sebagai proses rutin penggantian data.

Penamatan ini turut mencetuskan persoalan lebih besar terhadap komitmen Pentagon dalam bidang ramalan cuaca dan sains iklim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×