LONDON: Saluran penyiaran Britain, Channel 4, akan menayangkan sebuah dokumentari penting memaparkan pengalaman petugas kesihatan Palestin di Gaza, selepas BBC membuat keputusan tidak menyiarkannya, lapor agensi berita Anadolu (AA).
Dokumentari tersebut memberi gambaran secara langsung mengenai cabaran dan pengorbanan petugas perubatan di barisan hadapan di Gaza, selain menyiasat dakwaan serangan terhadap hospital dan kemudahan kesihatan di wilayah yang dilanda konflik itu.
Meskipun dokumentari itu sudah siap sepenuhnya, BBC pada awalnya menangguhkan siarannya atas alasan sedang menjalankan semakan dalaman berhubung satu lagi program berkaitan isu yang sama.
Namun, kemudian BBC memutuskan untuk tidak menyiarkannya langsung, dengan alasan dokumentari tersebut berpotensi menimbulkan “tanggapan berat sebelah yang tidak sejajar dengan piawaian editorial tinggi yang diharapkan oleh orang ramai.”
Sebaliknya, Channel 4 mengumumkan dokumentari tersebut akan disiarkan pada Rabu, 2 Julai.
Channel 4 menegaskan dokumentari itu sudah melalui proses semakan fakta dan penyuntingan yang ketat, selaras dengan piawaian editorial mereka serta Kod Penyiaran Ofcom.
Ketua Berita, Hal Ehwal Semasa dan Dokumentari Khas Channel 4, Louisa Compton berkata dokumentari itu merupakan laporan yang teliti dan amat signifikan.
“Ia membawa bukti penting yang menyokong dakwaan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa oleh tentera Israel. Dokumentari ini patut disaksikan secara meluas dan mencerminkan komitmen Channel 4 terhadap kewartawanan yang berani dan tidak gentar,” katanya.
Dokumentari itu diterbitkan oleh Basement Films, syarikat produksi yang sebelum ini menghasilkan dua lagi dokumentari mengenai konflik di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Dalam satu kenyataan, syarikat tersebut menyifatkan projek terbaharu ini sebagai paling mencabar antara ketiga-tiganya.
“Ini adalah dokumentari ketiga kami berkaitan serangan ke atas Gaza sejak 7 Oktober. Tiada satu pun yang mudah, tetapi kali ini merupakan yang paling sukar. Seperti biasa, kami sangat menghargai rakan-rakan kami di Palestin — lebih 200 daripada mereka telah terkorban akibat serangan Israel — serta para doktor dan petugas kesihatan yang mempercayai kami untuk menyampaikan kisah mereka,” kata Basement Films.











