KUALA LUMPUR: Berusia hanya 28 tahun namun Chiam Shiun Jia sudah berjaya mengukir nama dalam industri hiasan acara menerusi syarikat miliknya yang telah beroperasi di tiga negeri di Malaysia.
Meskipun muda, anak kelahiran Kuala Lumpur itu memiliki pengalaman lebih enam tahun dalam bidang reka bentuk dalaman dan hiasan ruang termasuk menghasilkan rekaan booth dan pameran bagi syarikat-syarikat ternama seperti MrDIY, Maybank dan banyak lagi.
Menurut graduan Interior Architecture dari Taylor’s University itu, perjalanannya dalam industri itu tidak mudah dan bermula dari bawah.
“Kami bermula kecil. Daripada majlis hari jadi, kemudian perkahwinan dan selepas itu barulah masuk ke segmen pameran berskala besar.
“Prosesnya tidak mudah, tapi kami ikut langkah demi langkah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, antara strategi awal yang diambil untuk berasa dalam industri ini adalah memulakan karier di tempat kecil terlebih dahulu.
“Saya tiada nama dalam industri. Jadi saya ke Melaka, jadi yang terbaik di sana dulu. Bila dah ada asas, baru saya bawa masuk ke Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas tentang cabaran utama dalam bidang ini, beliau berkata, persiapan awal merupakan antara yang paling mencabar.
“Kami akan sediakan semua bahan di kilang, kemudian baru pasang di lokasi acara. Itu yang paling susah, lebih-lebih lagi bila masa diberi sangat singkat.
“Stamina dan disiplin adalah dua perkara utama yang perlu ada untuk berjaya dalam bidang ini.
“Kadang-kadang kena kerja berjam-jam. Kalau tiada ketahanan, memang sukar bertahan lama,” katanya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu turut menyimpan impian untuk menganjurkan pameran sendiri dengan lebih banyak ruang pameran hasil sentuhan pasukannya.
“Saya mahu wujudkan inspirasi melalui booth yang kami hasilkan.
“Kalau dalam interior design, mungkin ambil masa bertahun. Tapi dalam dekorasi acara, kita cipta sesuatu yang cantik dalam masa singkat dan beri impak,” katanya.
Beliau juga berharap lebih ramai belia mencuba bidang ini yang disifatkan masih kurang diceburi, namun mempunyai potensi besar untuk berkembang. – UTUSAN











