Iran mampu perkaya semula uranium dalam masa beberapa bulan- IAEA

Iran mampu perkaya semula uranium dalam masa beberapa bulan- IAEA

GAMBAR satelit menunjukkan kawah baharu akibat serangan udara di kawasan kemudahan Pengayaan Bahan Api Fordow yang terletak di timur laut bandar Qom, Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi berkata, Iran berkemungkinan besar dapat memulakan semula pengeluaran uranium diperkaya dalam tempoh beberapa bulan walaupun kemudahan nuklear negara itu mengalami kerosakan akibat serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Israel melancarkan siri serangan udara ke atas tapak nuklear dan ketenteraan Iran pada 13 Jun diikuti AS yang turut menyerang tiga fasiliti utama digunakan dalam program nuklear republik Islam itu.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengesahkan kerosakan yang dialami kemudahan nuklear negara itu adalah serius namun perincian lanjut masih belum diketahui. 

Presiden AS, Donald Trump pula mendakwa serangan itu telah mengundurkan program nuklear Iran selama beberapa dekad, namun Grossi berkata, sebahagian daripada fasilitinya masih lagi berfungsi.

“Dalam tempoh beberapa bulan atau mungkin lebih singkat mereka boleh menghidupkan semula beberapa rangkaian sentrifug dan mula menghasilkan uranium diperkaya,” katanya dalam temu bual yang diterbitkan pada Sabtu.

Antara persoalan utama kini adalah sama ada Iran sempat memindahkan sebahagian atau keseluruhan stok simpanan uranium diperkaya yang dianggarkan seberat 408.6 kilogram sebelum serangan berlaku.

Uranium tersebut didakwa diperkaya sehingga 60 peratus, melebihi tahap penggunaan awam tetapi masih di bawah tahap senjata nuklear. 

Sekiranya diperhalusi lagi, bahan itu berpotensi menghasilkan lebih sembilan bom nuklear.

“Kami tidak tahu di mana bahan itu berada. Mungkin ada yang musnah dalam serangan tetapi ada juga yang berkemungkinan sudah dipindahkan. Jadi perlu ada penjelasan suatu hari nanti,” kata Grossi kepada CBS.

Buat masa ini, Parlimen Iran mengundi untuk menggantung kerjasama dengan IAEA dan menolak permintaan Grossi untuk melawat tapak-tapak yang rosak khususnya fasiliti utama pemerkayaan uranium Fordow.

Dalam satu temu bual berasingan bersama program Sunday Morning Futures di Fox News, Trump berkata, beliau tidak percaya stok uranium Iran sempat dipindahkan.

“Ia bukan perkara mudah untuk dilakukan dan kami tidak beri banyak notis. Mereka tak sempat pindahkan apa-apa,” katanya. 

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pada Sabtu pula menegaskan sokongan Washington terhadap peranan IAEA dalam pemantauan dan pengesahan program nuklear Iran serta memuji dedikasi dan profesionalisme Grossi dan agensinya. -AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×