MALAYSIA melonjak sebanyak 11 kedudukan daripada tempat ke-34 pada 2024 kepada kedudukan ke-23 daripada 69 negara yang dinilai dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2025. Peningkatan ini bukan sahaja menunjukkan kemajuan yang ketara, malah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang respektif di peringkat serantau dan global. Dalam konteks Asia-Pasifik yang terdiri daripada 14 negara, Malaysia berada di kedudukan ke-6, manakala dalam kategori negara berpenduduk melebihi 20 juta yang merangkumi 32 negara, Malaysia menduduki tempat ke-8.
Prestasi ini membuktikan reformasi dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini mula membuahkan hasil yang positif. Namun, analisis yang lebih mendalam mendedahkan bahawa pencapaian ini adalah hasil daripada prestasi cemerlang dalam beberapa bidang tertentu, manakala masih terdapat ruang yang besar untuk penambahbaikan dalam aspek-aspek kritikal yang lain.
Prestasi Ekonomi (Kedudukan 4)
Prestasi ekonomi merupakan tulang belakang kejayaan dalam penarafan daya saing global kali ini. Kedudukan ke-4 daripada 69 negara dalam faktor prestasi ekonomi ini adalah pencapaian yang luar biasa dan mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara yang kukuh. Pertumbuhan Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus pada 2024 meletakkan Malaysia di kedudukan ke-4 global, menjadikannya antara ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia.
Kestabilan ekonomi turut tercermin melalui kadar pengangguran yang rendah iaitu 3.30 peratus, yang menempatkan negara di kedudukan ke-13 global. Kadar ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia berjaya mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk rakyatnya, sekaligus mencerminkan dinamisme pasaran buruh tempatan. Kadar inflasi yang terkawal pada paras 1.83 peratus (kedudukan 18 global) menunjukkan keupayaan kerajaan menguruskan tekanan harga dengan berkesan, memberikan kestabilan kos sara hidup kepada rakyat.
Paling membanggakan, kedudukan nombor satu global Malaysia dalam sub-faktor “Harga”, menunjukkan kelebihan kos yang sangat signifikan berbanding negara-negara lain. Kelebihan ini menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang amat menarik untuk pelaburan, terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang sensitif kepada kos. Walau bagaimanapun, analisis yang lebih kritikal mendedahkan bahawa walaupun prestasi ekonomi secara keseluruhan cemerlang, KDNK per kapita berdasarkan Pariti Kuasa Beli (PPP) Malaysia sebanyak AS$40,384 masih menempatkan negara di kedudukan ke-48. Angka ini menunjukkan bahawa walaupun ekonomi berkembang pesat, tahap pendapatan per kapita masih ketinggalan berbanding negara-negara maju, menandakan keperluan untuk beralih kepada aktiviti ekonomi yang bernilai tambah tinggi.
Kecekapan Kerajaan Masih Memerlukan Reformasi (Kedudukan 25)
Kecekapan kerajaan merupakan bidang yang menunjukkan pembaikan yang paling ketara, dengan kedudukan Malaysia meningkat daripada tempat ke-33 pada 2024 kepada kedudukan ke-25 pada 2025. Dalam aspek dasar cukai, Malaysia mencatat prestasi yang baik dengan kedudukan ke-11, menunjukkan sistem cukai yang kompetitif dan mesra perniagaan, menjadi salah satu faktor tarikan bagi pelabur asing dan membantu merangsang aktiviti ekonomi.
Pengurusan kewangan awam juga menunjukkan tanda-tanda pembaikan dengan kedudukan yang lebih baik dalam sub-faktor kewangan awam. Ini mencerminkan usaha kerajaan dalam mengurus fiskal negara dengan lebih berdisiplin dan telus. Namun, masih terdapat ruang yang besar untuk penambahbaikan terutama dalam aspek perundangan perniagaan, di mana Malaysia berada di kedudukan ke-46. Kedudukan yang rendah ini menunjukkan bahawa persekitaran perundangan untuk menjalankan perniagaan masih tidak cukup kondusif dan memerlukan reformasi yang komprehensif.
Rangka kerja institusi yang berada di kedudukan ke-20 juga menunjukkan bahawa struktur institusi kerajaan masih boleh diperkukuhkan lagi. Isu birokrasi yang berlarutan masih menjadi halangan kepada kecekapan, walaupun terdapat peningkatan dalam beberapa aspek. Kelemahan dalam aspek-aspek ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan menghalang Malaysia daripada mencapai potensi penuh dalam menarik pelaburan asing serta memudahkan urusan perniagaan.
Kecekapan Perniagaan Memerlukan Perhatian Segera (Kedudukan 32)
Kecekapan perniagaan merupakan bidang yang paling mencabar bagi Malaysia dengan kedudukan di tempat ke-32, yang menunjukkan ruang pembaikan yang sangat besar. Kedudukan ini mencerminkan cabaran struktural yang mendalam dalam ekonomi Malaysia yang masih terlalu bergantung kepada input berbanding inovasi dan produktiviti. Sub-faktor produktiviti dan kecekapan yang berada di kedudukan ke-34 merupakan isu teras yang memerlukan perhatian segera kerana ia berkaitan secara langsung dengan keupayaan ekonomi untuk bergerak naik dalam rantai nilai global.
Pasaran buruh yang berada di kedudukan ke-23 menunjukkan bahawa walaupun terdapat kemajuan dalam aspek pekerjaan, masih terdapat cabaran dalam membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan sesuai dengan keperluan ekonomi moden. Sektor kewangan di kedudukan ke-26 dan amalan pengurusan di kedudukan ke-42 turut menunjukkan kelemahan dalam aspek-aspek yang kritikal untuk daya saing perniagaan. Amalan pengurusan yang lemah khususnya memberi kesan negatif kepada keupayaan syarikat-syarikat Malaysia untuk bersaing di peringkat global.
Infrastruktur dengan Prestasi Bercampur (Kedudukan 35)
Infrastruktur Malaysia menunjukkan prestasi yang bercampur-campur dengan kekuatan dalam aspek tertentu tetapi kelemahan yang serius dalam bidang-bidang kritikal yang lain. Infrastruktur asas yang kukuh dengan kedudukan ke-13 menunjukkan Malaysia mempunyai asas fizikal yang baik untuk menyokong aktiviti ekonomi. Infrastruktur teknologi yang berada di kedudukan ke-25 juga menunjukkan kemajuan yang munasabah dalam aspek komunikasi dan teknologi maklumat, walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
Namun, kelemahan yang paling serius terdapat dalam infrastruktur saintifik yang berada di kedudukan ke-35. Kedudukan ini mencerminkan kekurangan dalam ekosistem penyelidikan dan pembangunan yang diperlukan untuk mendorong inovasi dan membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Infrastruktur saintifik yang lemah ini akan menjejaskan keupayaan Malaysia untuk menghasilkan inovasi tempatan dan menarik syarikat-syarikat berteknologi tinggi untuk melabur di negara ini.
Lebih membimbangkan ialah kedudukan yang sangat lemah dalam aspek kesihatan dan alam sekitar di kedudukan ke-50. Kedudukan ini menunjukkan bahawa Malaysia menghadapi cabaran serius dalam menguruskan isu-isu alam sekitar dan menyediakan infrastruktur kesihatan yang berkualiti tinggi.
Dalam era kelestarian alam sekitar menjadi faktor penting dalam keputusan pelaburan, kelemahan ini boleh menjejaskan daya saing jangka panjang Malaysia.
Sektor pendidikan yang berada di kedudukan ke-44 turut menunjukkan kelemahan yang serius dalam membangunkan modal insan. Pendidikan yang lemah akan menjejaskan keupayaan Malaysia untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan seterusnya mempengaruhi daya saing ekonomi secara keseluruhan. – UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia.










