WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara G7 bersetuju menyokong satu cadangan baharu yang akan mengecualikan syarikat-syarikat dari negara tersebut daripada beberapa komponen dalam perjanjian cukai global sedia ada, menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu.
Melalui satu pendekatan baharu yang digelar sistem ‘side-by-side’, langkah tersebut diperkenalkan sebagai respons kepada keputusan pentadbiran AS yang bersetuju untuk menggugurkan cadangan cukai balas Seksyen 899 yang sebelum ini terkandung dalam rang undang-undang cukai dan perbelanjaan Presiden, Donald Trump.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kanada selaku pengerusi semasa G7, kumpulan itu memaklumkan pelan berkenaan mengiktiraf undang-undang cukai minimum sedia ada di AS dan bertujuan membawa kestabilan yang lebih kukuh kepada sistem cukai antarabangsa.
Jabatan Perbendaharaan AS dalam kenyataannya memaklumkan selepas Seksyen 899 digugurkan dari rang undang-undang versi Senat, satu persefahaman bersama dicapai bahawa sistem tersebut mampu mengekalkan kemajuan penting yang telah diraih dalam kerangka cukai inklusif terutamanya menangani masalah pengelakan cukai oleh syarikat multinasional.
“Kami menantikan perbincangan lanjut dalam Kerangka Inklusif bagi memperincikan persefahaman ini,” menurut kenyataan jabatan tersebut yang dimuat naik menerusi platform X.
Lapor Reuters, kerajaan Britain turut menyambut baik pengguguran Seksyen 899 yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan syarikat tempatan kerana dijangka akan meningkatkan beban cukai mereka jika diteruskan.
“Perjanjian hari ini memberi kepastian dan kestabilan yang sangat diperlukan kepada perniagaan selepas mereka menyuarakan kebimbangan,” kata Menteri Kewangan UK, Rachel Reeves sambil menegaskan usaha untuk menangani perancangan cukai yang agresif dan pengelakan cukai masih perlu diteruskan.
Terdahulu pada Januari lalu, Trump melalui satu perintah eksekutif mengumumkan perjanjian cukai minimum global 2021 tidak lagi terpakai di AS, sekali gus menarik diri daripada perjanjian penting yang dirunding oleh pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden bersama hampir 140 negara lain.
Trump turut mengancam untuk mengenakan cukai balas terhadap mana-mana negara yang mengenakan cukai tambahan terhadap syarikat-syarikat AS berdasarkan perjanjian tersebut satu langkah yang dilihat bakal memberi kesan buruk kepada syarikat asing yang beroperasi di AS.
Pegawai G7 dalam kenyataan sama memaklumkan mereka komited untuk membincangkan penyelesaian yang boleh diterima dan dilaksanakan oleh semua pihak dalam kerangka cukai antarabangsa yang inklusif.










